Powered By Blogger

Jumaat, 27 Februari 2009

Said bin Amir Al-Jumahi

Kekalahan kaum musyrikin Mekah pada perang Badar telah menaikkan kemarahan mereka. Suatu hari, mereka berjaya menangkap seorang sahabat iaitu Khubaib ibn Adi. Mereka melakukan pembunuhan sahabat Rasulullah SAW ini di hadapan khalayak ramai.

Said bin Amir al Jumahi merupakan antara ribuan yang datang menyaksikan pembunuhan sahabat ini. Kaki dan tangan Khubaib dirantai. Namun sebelum pembunuhan dilaksanakan, Khubaib membuat permintaan. “Bolehkah aku solat dua rakaat sebelum aku di bunuh?” maka dia dibenarkan. Said memerhatikan Khubaib menunaikan solat dengan begitu tenang sedangkan seketika nanti beliau akan dibunuh. Selepas selesai solat, Khubaib berkata “ Sekiranya tidak kerana aku bimbang mereka mengatakan aku takut mati, nescaya akanku panjangkan solatku”

Said memerhatikan penyeksaan yang amat kejam terhadap Khubaib, badan beliau dicincang-cincang oleh kaum musyrikn. Pada waktu itu mereka bertanya kepada Khubaib “ Hei Khubaib, mahukah engkau sekiranya si Muhammad menggantikan engkau dan kemudian engkau kami bebaskan?” Jawab Khubaib dengan tegas “Aku tidak ingin bersenang lenang dengan anak isteriku sedangkan nabi Muhammad terseksa”.

Peristiwa ini memberi kesan yang amat mendalam kepada Said bin Amir al-Jumahi. Seterusnya telah membuka pintu hati beliau untuk memeluk Islam. Setelah mengiklankan pengislaman beliau, beliau menjadi orang yang rapat dengan Rasul SAW dan terbabit dalam peperangan-peperangan seperti di Khaibar dan lain-lain.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, beliau menjadi pembela setia kepada dua Khalifah ar-Rasyidin iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al Khattab. Beliau sering menasihati para khalifah tentang pemerintahan mereka seperti yang pernah beliau ungkapkan kepada Umar “Wahai Umar! Takutlah kamu kepada Allah dalam memerintah manusia. Jangan takut kepada manusia dalam menjalankan urusan Allah. Jadikanlah percakapan kamu sama seperti perbuatan kamu.”

Pada seuatu ketika di zaman Umar Al Khattab, ketika beliau ingin melantik Gabenor di Hims, beliau telah memanggil Said bin Amir dengan katanya: “Wahai Said, kami telah melantik engkau sebagai Gabenor Hims” Lalu dibalas oleh Said dengan katanya: “Wahai Umar. aku memohon kepada Allah agar engkau tidak mendorong diriku condong kepada dunia.” Lalu dengan marahnya Khalifah Umar membalas: “Celakalah engkau! Engkau meletakkan amanah pimpinan dibahuku, lalu engkau membiarkan aku sendirian.” lalu dijawab oleh Said: “ Demi Allah! Aku tidak akan membiarkan engkau bersendirian.”

Selepas beberapa ketika, Umar mengutuskan delegasi ke Hims untuk menyenaraikan golongan fakir di sana sebagai penerima zakat. Sekembalinya delegasi tersebut ke Madinah, Umar memeriksa nama golongan fakir dan mendapati terdapat nama Said bin Amir. Lalu bertanya Umar kepada delegasi tersbut “ Adakah Said yang dimaksudkan ini merupakan Gabenor Hims” Lalu mereka menjawab “Ya”. Lalu menitislah air mata Umar serta beliau menyuruh delegasi tersebut menghadiahkan 1000 dinar untuk kegunaan rumahtangga Said.

Apabila wang tersebut sampai kepada Said, maka berubahlah air muka beliau, perkara ini diperhatikan oleh isteri beliau lalu dia bertanya “ Adakah Khalifah Umar telah wafat?” Jawab Said “Bahkan lebih buruk.” “Adakah kaum muslimin kalah dalam peperangan?” “Bahkan lebih” “jadi, Apakah yang terjadi?” Isteri beliau bertanya. “Dunia telah datang untuk merosakkan Akhiratku” Jawab Said bin Amir. Maka isteri beliau pun menjawab “Maka jauhilah ia” Lalu Said pun membahagikan wang tersebut kepada fakir miskin.

Bersambung…

2 ulasan:

Uqbah Azam berkata...

perkongsian yang bermakna luqman.

kalau tidak ana mungkin tidak kenal Said bin Amir Al-Jumahi...

sebenarnya banyak lagi sahabat yang namanya tidak begitu disebut sebut kan. tapi takpe. sebab mereka terkenal di langit. mashaALLAH...

Tanpa Nama berkata...

salam ziarah. syukran untuk entri ini kerana memperkenalkan tokoh ini~

Gambar