Alhamdulillah, sepanjang cuti ini, ana telah pergi ke Syria melawat tempat-tempat menarik. Jadi di sini ana ingin berkongsi pengalaman yang menarik ini bersama dengan antum semua.
Syria Arab Republic atau republik Arab Syria merupakan salah satu negara yang penuh dengan sejarahnya yang tersendiri. Ia merupakan sebahagian dari bumi Syam, tanah barakah dan merupakan bumi para anbiya’. Kota Dimasyq atau dalam bahasa Inggeris Damascus dan Bahasa Melayu Damsyik merupakan Ibu kota yang tertua di dunia. Kota ini pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Bani Ummayah yang merupakan khilafah Islam ketika itu. Selain itu kota ini sebenarnya telah wujud lebih lama dari itu, terdapat pelbagai tinggalan di kota tersebut.
1/2/2009- Ahad
Ana memulakan perjalanan ke Syria pada hari ini, setelah menyiapkan apa yang perlu seperti menukar duit dan segala persiapan lain, Ana bersama lima lagi sahabat bertolak. Dari rumah kami menaiki teksi ke Mujamma’ Amman dan mencari teksi untuk ke Syria. Dari situ, kami menyewa dua buah teksi ke Dimasyq dengan harga JD40 sebuah. Kami bertolak dalam pukul 4 petang. Kami tiba di sempadan dan seterusnya masuk ke Syria dan terus Dimasyq. Setiba kami di sana kami mengambil teksi ke Jami’ Umawi dan berjalan-jalan di sekitar jami tersebut. Seterusnya kami pergi ke Jami Abu Nur untuk berehat di Rumah kawan iaitu rumah Hafizi.
2/2/2009- Isnin
Selepas bersiap, kami berjalan-jalan di sekitar kawasan Jami’ Abu Nur, mengenali suasana yang agak berbeza dari suasana di Jordan. Suasana di Syria yang lebih subur mengingatkan ana kembali kepada Malaysia. Di samping agak banyak kereta buatan Malaysia yang terdapat di Syria ini seperti Proton Gen2, Waja, Perodua Kancil dan Kelisa. ’Malaysia Boleh’. Kemudian, kami bersarapan Nasi Lemak di sebuah restoran Melayu di Syria, terkejut tak? Restoran ini diusahakan oleh pelajar-pelajar Melayu di Syria. Seterusnya, kami di bawa oleh Abg Muzakkir menjelajah Kota Lama Dimasyq. Di sini terdapat pelbagai tempat menarik seperti Suoq Hamidiyeh(Pasar), Makam para Sahabat dan Nabi, Madrasah dan kesan tinggalan Zaman Khilafah Umawiyyah. Pada hari ini, kami hanya sempat berjalan di sekitar pasar dan Jami’ Umawi serta makam Abi Darda’ sahaja kerana rambang mata dengan pelbagai barangan yang diniagakan di pasar hamidiyeh ini.
3/2/2009-Selasa
Hari ini kami nekad untuk menjelajah kota lama Dimasyq bersendirian tanpa ditemani oleh sesiapa. Maka pada hari inilah kami berjaya menjejak kaki ke Makam Salahuddin Al-Ayubi, seorang pejuang besar yang telah membuka kota Al-Quds dari Kaum Nasrani. Kemudian kami meneroka disebalik bangunan lama di sekitar kota lama ini, terdapat banyak madrasah lama yang kini menjadi muzium. Namun amat sedih bagi kami kerana Ia ditutup kerana memang muzium dekat Syria ni tutup hari selasa. Namun, sempat juga kami melawat hospital lama atau Bimaristan. Hari ini jugalah kami sempat melawat makam Sayyidah Ruqayyah, cicit Rasulullah, Makam nabi Yahya dan Nuruddin Zanki. Selepas menunaikan Solat zohor di Jami’ Umawi kami ke Makam Arbain di Jabal Qasyun, iaitu tempat dimana dikatakan tempat beribadah para ulama’ yang merupakan penjaga bumi Syam, disini juga dikatakan tempat berlakunya pembunuhan pertama iaitu Habil.
Pada waktu Maghrib, kami sempat untuk menghadiri kuliah Tafsir yang disampaikan oleh seorang Ulama Besar di Syria iaitu Dr Wahbah Zuhaili. Kemudian, pada malam ini kami bertolak dengan menaiki keretapi ke Halab atau Aleppo, sebuah bandar lama yang terletak hampir dengan sempadan Turki. Kami bertolak pada pukul 12.00 tengah malam.
4/2/2009-Rabu
Tiba di kota Halab atau dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai kota Aleppo pada pukul 7.00 pagi. Kami sempat berjalan-jalan sekitar bandar Halab dan menikmati suasana pagi di mana kebanyakan remaja disini pergi ke sekolah. Masyarakat di sini amat peramah dan baik hati serta menerima kedatangan kami dengan tangan terbuka, mereka sempat menghadiahkan kepada kami roti untuk makan pagi. Selepas itu, kami makan pagi dengan berpemandangankan Aleppo Castle. Kemudian kami meneroka Aleppo Castle dan berada di dalamnya hampir 2 jam. Terdapat pelbagai tinggalan menarik antaranya Balai mengadap Raja, Teater, berek tentera dan tinggalan rumah-rumah. Destinasi seterusnya kami ialah Suoq Hamidiyeh. Ia merupakan Suoq Hamidiyeh yang terpanjang dan lebih panjang dari yang terdapat di Dimasyq. Kami solat zohor di Jami’ Umawi dan melawat makan Nabi Zakaria. Kemudian, kami ke Jami’ Karamah di mana di katakan terdapatnya bekas tapak kaki Rasulullah s.a.w. Seterusnya kami ke Bimaristan Al Argouni iaitu sebuah Hospital zaman Islam yang beroperasi sejak zaman khilafah umayyah hingga akhir kurun ke-19.Kemudian, dengan menaiki bas kami menuju ke Homs untuk melawat Jami’ Khalid ibn Walid. Di situ terdapat makan Khalid ibn Walid dan Abdullah bin Umar. Kami tiba di sana pada waktu maghrib dan selepas solat, kami pulang ke Dimasyq.
5/2/2009-Khamis
Hari ini, kami hanya bercadang ke Pasar untuk membeli cenderahati. Maka kami tidaklah pergi ke mana-mana melainkan berjalan-jalan sekitar kota lama dimasyq, Hari ini jugalah kami di bawa melawat makan para sahabat dan ahl bait di sekitar kota Dimasyq.
6/2/2009-Jumaat
Hari ini merupakan hari terakhir kami di Syria, kami di bawa pergi ke Busro dan Nawa dengan menaiki van yang di sewa. Di Busro, kami sempat melawat Busro Castle dan melawat madrasah Ibn Kathir serta Jami’ Al Umari yang dibina oleh Umar Al-Khattab, Di sini juga ter dapat gereja Buhaira, Pendeta yang mengenali kenabian Rasulullah S.A.W ketika baginda berniaga di Bumi Syam. Kemudian kami menuju ke Nawa, kota kelahiran Imam Nawawi dan menziarahi Makam beliau. Seterusnya teruslah kami kembali ke Jordan.
Sesungguhnya pengalaman ke Syria ini merupakan satu pengalaman yang tidak boleh ana lupakan, perjalanan ana di sini telah menerbitkan rasa insaf dan kagum dengan keindahan alam serta kekuasaan Allah. Membawa ana menerokai sejarah ketamadunan Islam dan mengambil Ibrah dari kesan-kesan Sejarah ini. Moga dari rehlah ini, ia dapat membawa manfaat kepada diri ana di samping mendekatkan diri ana kepada Sang pencipta Alam.
Wallahua’alam
Kesimpulan..Tempat yang sempat dilawati
1. Makam Sahabat
-Abi Darda R.A - Dimasyq
-Bilal R.A - Dimasyq
-Khalid ibn Walid R.A
-Abdullah ibn Umar R.A
-Abdullah ibn Jaafar At Toyyar R.A-Dimasyq
-Muawiyyah ibn Abi Sufian R.A-Dimasyq
-Dihyatul Kalbi R.A- Dimasyq
2.Makam Ahl-Bait
- Isteri Rasulullah, Ummu Salamah dan Ummu Habibah- Dimasyq
- Cucu Rasulullah, Al-Husain ibn Ali - Dimasyq
- Sebahagian dari Imam 12, Jaafar As Sodiq, Ali Zainal Abidin, Muhammad al Baqir - Dimasyq
- Cucu Cicit Rasulullah, Ruqayyah, Fatimah, - Dimasyq
3. Makam Para Ulama’
-Salahuddin Al Ayubi - Dimasyq
-Nuruddin Zanki -Dimasyq
-Imam Nawawi - Nawa
4- Makam Nabi Zakaria(Jami’ Umawi-Halab) dan Yahya-(Jami’ Umawi-Dimasyq)
5- Jami’ Umawi di Dimasyq dan Halab
6- Kota Halab (Aleppo Castle)
7- Kota Busro
8- Makam Arbain(Dimasyq)
9- Bimaristan An-Nuri-Dimasyq, Bimaristan Al Argouni-Halab
Berusaha Kearah Perubahan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan