Powered By Blogger

Jumaat, 27 Februari 2009

Said bin Amir Al-Jumahi

Kekalahan kaum musyrikin Mekah pada perang Badar telah menaikkan kemarahan mereka. Suatu hari, mereka berjaya menangkap seorang sahabat iaitu Khubaib ibn Adi. Mereka melakukan pembunuhan sahabat Rasulullah SAW ini di hadapan khalayak ramai.

Said bin Amir al Jumahi merupakan antara ribuan yang datang menyaksikan pembunuhan sahabat ini. Kaki dan tangan Khubaib dirantai. Namun sebelum pembunuhan dilaksanakan, Khubaib membuat permintaan. “Bolehkah aku solat dua rakaat sebelum aku di bunuh?” maka dia dibenarkan. Said memerhatikan Khubaib menunaikan solat dengan begitu tenang sedangkan seketika nanti beliau akan dibunuh. Selepas selesai solat, Khubaib berkata “ Sekiranya tidak kerana aku bimbang mereka mengatakan aku takut mati, nescaya akanku panjangkan solatku”

Said memerhatikan penyeksaan yang amat kejam terhadap Khubaib, badan beliau dicincang-cincang oleh kaum musyrikn. Pada waktu itu mereka bertanya kepada Khubaib “ Hei Khubaib, mahukah engkau sekiranya si Muhammad menggantikan engkau dan kemudian engkau kami bebaskan?” Jawab Khubaib dengan tegas “Aku tidak ingin bersenang lenang dengan anak isteriku sedangkan nabi Muhammad terseksa”.

Peristiwa ini memberi kesan yang amat mendalam kepada Said bin Amir al-Jumahi. Seterusnya telah membuka pintu hati beliau untuk memeluk Islam. Setelah mengiklankan pengislaman beliau, beliau menjadi orang yang rapat dengan Rasul SAW dan terbabit dalam peperangan-peperangan seperti di Khaibar dan lain-lain.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, beliau menjadi pembela setia kepada dua Khalifah ar-Rasyidin iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al Khattab. Beliau sering menasihati para khalifah tentang pemerintahan mereka seperti yang pernah beliau ungkapkan kepada Umar “Wahai Umar! Takutlah kamu kepada Allah dalam memerintah manusia. Jangan takut kepada manusia dalam menjalankan urusan Allah. Jadikanlah percakapan kamu sama seperti perbuatan kamu.”

Pada seuatu ketika di zaman Umar Al Khattab, ketika beliau ingin melantik Gabenor di Hims, beliau telah memanggil Said bin Amir dengan katanya: “Wahai Said, kami telah melantik engkau sebagai Gabenor Hims” Lalu dibalas oleh Said dengan katanya: “Wahai Umar. aku memohon kepada Allah agar engkau tidak mendorong diriku condong kepada dunia.” Lalu dengan marahnya Khalifah Umar membalas: “Celakalah engkau! Engkau meletakkan amanah pimpinan dibahuku, lalu engkau membiarkan aku sendirian.” lalu dijawab oleh Said: “ Demi Allah! Aku tidak akan membiarkan engkau bersendirian.”

Selepas beberapa ketika, Umar mengutuskan delegasi ke Hims untuk menyenaraikan golongan fakir di sana sebagai penerima zakat. Sekembalinya delegasi tersebut ke Madinah, Umar memeriksa nama golongan fakir dan mendapati terdapat nama Said bin Amir. Lalu bertanya Umar kepada delegasi tersbut “ Adakah Said yang dimaksudkan ini merupakan Gabenor Hims” Lalu mereka menjawab “Ya”. Lalu menitislah air mata Umar serta beliau menyuruh delegasi tersebut menghadiahkan 1000 dinar untuk kegunaan rumahtangga Said.

Apabila wang tersebut sampai kepada Said, maka berubahlah air muka beliau, perkara ini diperhatikan oleh isteri beliau lalu dia bertanya “ Adakah Khalifah Umar telah wafat?” Jawab Said “Bahkan lebih buruk.” “Adakah kaum muslimin kalah dalam peperangan?” “Bahkan lebih” “jadi, Apakah yang terjadi?” Isteri beliau bertanya. “Dunia telah datang untuk merosakkan Akhiratku” Jawab Said bin Amir. Maka isteri beliau pun menjawab “Maka jauhilah ia” Lalu Said pun membahagikan wang tersebut kepada fakir miskin.

Bersambung…

Ahad, 22 Februari 2009

Gambar Rehlah Ke Syria

Kepada pelawat blog, bolehlah melihat gambar ana di Syria di sini.

Khamis, 19 Februari 2009

Peringatan buat Kita Semua

أَلَمْ يَأْتِهِمْ نَبَأُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ وَقَوْمِ إِبْرَاهِيمَ وَأَصْحَابِ مَدْيَنَ وَالْمُؤْتَفِكَاتِ أَتَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ (٧٠)وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (٧١)وَعَدَ اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ أَكْبَرُ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

70. Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, Iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri Yang telah dibinasakan? (Semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka Dengan membawa keterangan Yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka); Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah Yang menganiaya diri sendiri.

71. dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

72. Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat Yang baik di Dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari Allah Yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) Yang demikian itulah kejayaan Yang besar.

Surah At-Taubah 70-72

Kesimpulan
Allah swt telah mendatangkan kepada kita kaum-kaum yang telah mendapat bala supaya kita boleh ambil pengajaran dari kisah mereka ini. Allah membawa kita kisah kaum Nuh (Surah Nuh), Kaum Aad dan Thamud (surah Al-Haqqah), Kaum Nabi Ibrahim iaitu Namrud, Penduduk Madyan, Kaum Nabi Syuaib yang tidak jujur dalam jual beli serta “الْمُؤْتَفِكَاتِ” iaitu dimaksudkan di sini ialah kaum nabi Lut. Allah swt telah mengatakan bahawa bala tersebut bukanlah kerana Allah swt itu zalim tetapi kerana mereka telah menzalimi diri mereka sendiri. Marilah kita mengambil peringatan dari kisah-kisah mereka.

Seterusnya Allah swt menceritakan sifat-sifat orang beriman serta menjanjikan kepada mereka ini balasan syurga yang setimpal. Sesungguhnya Allah maha menepati janji. Oleh itu, marilah kita meningkatkan iman kita serta menghayati sifat-sifat yang disebut supaya kita dapat tergolong dalam golongan mukminin yang sebenar-benarnya.

Wallahu’alam.

Rujukan : Tafsir Rawa’il Bayan li Ma’anil Qur’an.

Berusaha ke Arah Perubahan

Selasa, 17 Februari 2009

Rehlah ke Syria

P1310104Alhamdulillah, sepanjang cuti ini, ana telah pergi ke Syria melawat tempat-tempat menarik. Jadi di sini ana ingin berkongsi pengalaman yang menarik ini bersama dengan antum semua.

Syria Arab Republic atau republik Arab Syria merupakan salah satu negara yang penuh dengan sejarahnya yang tersendiri. Ia merupakan sebahagian dari bumi Syam, tanah barakah dan merupakan bumi para anbiya’. Kota Dimasyq atau dalam bahasa Inggeris Damascus dan Bahasa Melayu Damsyik merupakan Ibu kota yang tertua di dunia. Kota ini pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Bani Ummayah yang merupakan khilafah Islam ketika itu. Selain itu kota ini sebenarnya telah wujud lebih  lama dari itu, terdapat pelbagai tinggalan di kota tersebut.

1/2/2009- Ahad
Ana memulakan perjalanan ke Syria pada hari ini, setelah menyiapkan apa yang perlu seperti menukar duit dan segala persiapan lain, Ana bersama lima lagi sahabat bertolak. Dari rumah kami menaiki teksi ke Mujamma’ Amman dan menP1300019cari teksi untuk ke Syria. Dari situ, kami menyewa dua buah teksi ke Dimasyq dengan harga JD40 sebuah. Kami bertolak dalam pukul 4 petang. Kami tiba di sempadan dan seterusnya masuk ke Syria dan terus Dimasyq. Setiba kami di sana kami mengambil teksi ke Jami’ Umawi dan berjalan-jalan di sekitar jami tersebut. Seterusnya kami pergi ke Jami Abu Nur untuk berehat di Rumah kawan iaitu rumah Hafizi.

2/2/2009- Isnin
P1300040Selepas bersiap, kami berjalan-jalan di sekitar kawasan Jami’ Abu Nur, mengenali suasana yang agak berbeza dari suasana di Jordan. Suasana di Syria  yang lebih subur mengingatkan ana kembali kepada Malaysia. Di samping agak banyak kereta buatan P1300031Malaysia yang terdapat di Syria ini seperti Proton Gen2, Waja, Perodua Kancil dan Kelisa. ’Malaysia Boleh’. Kemudian, kami bersarapan Nasi Lemak di sebuah restoran Melayu di Syria, terkejut tak? Restoran ini diusahakan oleh pelajar-pelajar Melayu di Syria. Seterusnya, kami di bawa oleh Abg Muzakkir menjelajah Kota Lama Dimasyq. Di sini terdapat pelbagai tempat menarik seperti Suoq Hamidiyeh(Pasar), Makam para Sahabat dan Nabi, Madrasah dan kesan tinggalan Zaman Khilafah Umawiyyah. Pada hari ini, kami hanya sempat berjalan di sekitar pasar dan Jami’ Umawi serta makam Abi Darda’ sahaja kerana rambang mata dengan pelbagai barangan yang diniagakan di pasar hamidiyeh ini.

3/2/2009-Selasa
IMG_0992Hari ini kami nekad untuk menjelajah kota lama Dimasyq bersendirian tanpa ditemani oleh sesiapa. Maka pada hari inilah kami berjaya menjejak kaki ke Makam Salahuddin Al-Ayubi, seorang pejuang besar yang telah membuka kota Al-Quds dari Kaum Nasrani. Kemudian kami meneroka disebalik bangunan lama di sekitar kota lama ini, terdapat banyak madrasah lama yang kini menjadi muzium. Namun amat sedih bagi kami kerana Ia ditutup kerana memang muzium dekat Syria ni tutup hari selasa. Namun, sempat juga kami melawat hospital lama atau Bimaristan. Hari ini jugalah kami sempat melawat makam Sayyidah Ruqayyah, cicit Rasulullah, Makam nabi Yahya dan Nuruddin Zanki. Selepas menunaikan Solat zohor di Jami’ Umawi kami ke Makam Arbain di Jabal Qasyun, iaitu tempat dimana dikatakan tempat beribadah para ulama’ yang merupakan penjaga bumi Syam, disini juga dikatakan tempat berlakunya pembunuhan pertama iaitu Habil.
Pada waktu Maghrib, kami sempat untuk menghadiri kuliah Tafsir yang disampaikan oleh seorang Ulama Besar di Syria iaitu Dr Wahbah Zuhaili. Kemudian, pada malam ini kami bertolak dengan menaiki keretapi ke Halab atau Aleppo, sebuah bandar lama yang terletak hampir dengan sempadan Turki. Kami bertolak pada pukul 12.00 tengah malam.

4/2/2009-Rabu
P2010193Tiba di kota Halab atau dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai kota Aleppo pada pukul 7.00 pagi. Kami sempat berjalan-jalan sekitar bandar Halab dan menikmati suasana pagi di mana kebanyakan remaja disini pergi ke sekolah. Masyarakat di sini amat peramah dan baik hati serta menerima kedatangan kami dengan tangan terbuka, mereka sempat menghadiahkan kepada kami roti untuk makan pagi. Selepas itu, kami makan pagi dengan berpemandangankan Aleppo Castle. Kemudian kami meneroka Aleppo Castle  dan berada di dalamnya hampir 2 jam. Terdapat pelbagai tinggalan menarik antaranya Balai mengadap Raja, Teater, berek tentera dan tinggalan rumah-rumah. Destinasi seterusnya kami ialah Suoq Hamidiyeh. Ia merupakan Suoq Hamidiyeh yang terpanjang dan lebih panjang dari yang terdapat di Dimasyq. Kami solat zohor di Jami’ Umawi dan melawat makan Nabi Zakaria. Kemudian, kami ke Jami’ Karamah di mana di IMG_1091katakan terdapatnya bekas tapak kaki Rasulullah s.a.w. Seterusnya kami ke Bimaristan Al Argouni iaitu sebuah Hospital zaman Islam yang beroperasi sejak zaman khilafah umayyah hingga akhir kurun ke-19.Kemudian, dengan menaiki bas kami menuju ke Homs untuk melawat Jami’ Khalid ibn Walid. Di situ terdapat makan Khalid ibn Walid dan Abdullah bin Umar. Kami tiba di sana pada waktu maghrib dan selepas solat, kami pulang ke Dimasyq.

5/2/2009-Khamis
Hari ini, kami hanya bercadang ke Pasar untuk membeli cenderahati. Maka kami tidaklah pergi ke mana-mana melainkan berjalan-jalan sekitar kota lama dimasyq, Hari ini jugalah kami di bawa melawat makan para sahabat dan ahl bait di sekitar kota Dimasyq.

6/2/2009-Jumaat
P2030395Hari ini merupakan hari terakhir kami di Syria, kami di bawa pergi ke Busro dan Nawa dengan menaiki van yang di sewa. Di Busro, kami sempat melawat Busro Castle dan melawat madrasah Ibn Kathir serta Jami’ Al Umari yang dibina oleh Umar Al-Khattab, Di sini juga ter dapat gerejP2030407a Buhaira, Pendeta yang mengenali kenabian Rasulullah S.A.W ketika baginda berniaga di Bumi Syam. Kemudian kami menuju ke Nawa, kota kelahiran Imam Nawawi dan menziarahi Makam beliau. Seterusnya teruslah kami kembali ke Jordan.

Sesungguhnya pengalaman ke Syria ini merupakan satu pengalaman yang tidak boleh ana lupakan, perjalanan ana di sini telah menerbitkan rasa insaf dan kagum dengan keindahan alam serta kekuasaan Allah. Membawa ana menerokai sejarah ketamadunan Islam dan mengambil Ibrah dari kesan-kesan Sejarah ini. Moga dari rehlah ini, ia dapat membawa manfaat kepada diri ana di samping mendekatkan diri ana kepada Sang pencipta Alam.

Wallahua’alam

Kesimpulan..Tempat yang sempat dilawati

1. Makam Sahabat
-Abi Darda R.A - Dimasyq
-Bilal R.A - Dimasyq
-Khalid ibn Walid R.A
-Abdullah ibn Umar R.A
-Abdullah ibn Jaafar At Toyyar R.A-Dimasyq
-Muawiyyah ibn Abi Sufian R.A-Dimasyq
-Dihyatul Kalbi R.A- Dimasyq 

2.Makam Ahl-Bait
- Isteri Rasulullah, Ummu Salamah dan Ummu Habibah- Dimasyq
- Cucu Rasulullah, Al-Husain ibn Ali - Dimasyq
- Sebahagian dari Imam 12, Jaafar As Sodiq, Ali Zainal Abidin, Muhammad al Baqir - Dimasyq
- Cucu Cicit Rasulullah, Ruqayyah, Fatimah,  - Dimasyq

3. Makam Para Ulama’
-Salahuddin Al Ayubi - Dimasyq
-Nuruddin Zanki -Dimasyq
-Imam Nawawi - Nawa

4- Makam Nabi Zakaria(Jami’ Umawi-Halab) dan Yahya-(Jami’ Umawi-Dimasyq)

5- Jami’ Umawi di Dimasyq dan Halab

6- Kota Halab (Aleppo Castle)

7- Kota Busro

8- Makam Arbain(Dimasyq)

9- Bimaristan An-Nuri-Dimasyq, Bimaristan Al Argouni-Halab

Berusaha Kearah Perubahan

Isnin, 16 Februari 2009

Zuhud

عن أبو العباس سهل بن سعد الساعدى قال جاء رجل الي النبي صل الله عليه وسلم فقال دلني علي عمل اذا عملته أحبني الله وأحبني الناس فقال أزهد في الدنيا يحبك الله وأزهد فيما عند الناس يحبك الناس

Daripada Abu al-'Abbas Sahlu ibn Sa'ad al-Saa'idie r.a. beliau berkata:Seorang lelaki telah datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah! Tunjukkan daku suatu amalan yang apabila aku lakukannya, aku dikasihi oleh Allah dan dikasihi oleh manusia. Baginda bersabda: Zuhudlah engkau terhadap dunia, nescaya Allah kasihkan engkau dan zuhudlah terhadap apa
yang ada pada manusia, nescaya manusia akan mengasihimu.

Hadis Riwayat Ibn Majah

Apa itu Zuhud? Zuhud merupakan satu sifat yang menyebabkan kita hilang rasa kasih terhadap dunia. Zuhud sebenar bukan bererti meninggalkan dunia atau langsung tidak berharta. Zuhud sejati ialah tidak menjadikan dunia dan kemewahan hidup sebagai matlamat hidup, walaupun kekayaannya memenuhi dunia seumpama yang terjadi pada jutawan zaman Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman ibn 'Auf, kerana matlamat hidup seorang mukmin ialah Allah dan keredhaanNya, bukan benda-benda
selainNya.

Sifat ini hendaklah kita usaha pupuk di dalam diri kita kerana sesungguhnya ia akan membawa diri kita dekat kepada Allah. Ingatlah, matlamat kehidupan manusia bukan hendak mengejar dunia tetapi mencapai keredhaan Allah melalui ibadah kita dan kehidupan seharian yang juga sebahagian dari hubungan kita dengan Allah.

Firman Allah dalam surah Az-Zariyat 56

Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku

Zuhud terhadap Allah ialah kita menggunakan nikmat yang Allah berikan kepada kita secara berpada-pada sesuai dengan kemampuan dan anugerah Allah kepada kita, dan hendaklah kita sentiasa rasa bersyukur dan berterima kasih serta menggunakan nikmat tersebut di atas jalan yang di kehendaki oeh Allah swt.

Zuhud terhadap manusia, bererti menjauhkan diri dari merasa irihati terhadap apa yang dimiliki oleh manusia serta mengosongkan hati dari mengingati harta milik orang. lni bukan
bererti membenci sehingga suka agar kesenangan orang lain hilang kerana itu hasad dengki yang amat dilarang.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menyemai dan berusaha mengamalkan sifat zuhud kerana ia sebenarnya merupakan wasilah yang mendekatkan hati kita kepada Allah s.w.t.

Wallahu’alam

Berusaha Kearah Perubahan

Ahad, 15 Februari 2009

Hari Pertama Untuk Sem 2

Alhamdulillah, berlalu sudah hari pertama ana pergi ke jamiah untuk Semester kedua ini. Semester baru dengan azam baru. Sebagai mana yang antum semua ketahui, Semester ini ana hanya ke Jamiah 3 hari seminggu sahaja, jadi masa perlu diatur dengan baik bagi mengelakkan masa ana dibuang kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Insya Allah di hari yang kosong itu, ana merancang untuk menghadiri kelas agama di Jamiah Yarmuk, mempelajari ilmu berkaitan agama Islam. Semoga Allah mempermudahkan perancangan ana.

Bercakap mengenai masa, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri meninjau kembali adakah masa yang Allah s.w.t anugerahkan kepada kita ini diisi dengan perkara yang membawa faedah dan mendekatkan diri kepada Allah?

Masa itu merupakan kehidupan kita, jika kita menghabiskan masa kepada perkara dosa dan melalaikan, sesungguhnya kita membawa hidup kita ke lembah kebinasaan. Oleh itu, berhati-hatilah kita dalam mempergunakan anugerah Allah yang amat bernilai ini.

Marilah kita renungi dan hayati Firman Allah ini :

Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian.  kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.



Surah Al-Ashr 1-3

Berusaha Kearah Perubahan

Sabtu, 14 Februari 2009

Bila Jahiliyyah Menguasai

Sistem kehidupan kini sebenarnya sudah lama dikuasai oleh sistem Jahiliyyah, namun ramai manusia seakan-akan tidak menyedari langsung bahawa mereka kini hidup dalam zaman Jahiliyyah.

Kita lihat sahaja kehidupan seorang remaja kini, sentiasa inginkan kesenangan dan keseronokan semata-mata. Mereka belajar bukan berniat ikhlas untuk menuntut ilmu tetapi ingin mencapai matlamat duniawi. Kehidupan seharian mereka terputus dari mengingati Allah s.w.t. dan sentiasa bergelumang dengan dosa dan maksiat samada mereka sedar mahupun tidak.

Amat sukar bagi kita melihat para remaja sekarang mendekatkan diri mereka di Masjid beribadah tetapi amat mudah untuk kita melihat mereka berada di jalanan dan pusat-pusat membeli-belah melepak dan membuang masa.

Kehidupan mereka dipenuhi dengan perkara-perkara tidak berfaedah, menonton filem-filem dan drama-drama yang sebenarnya menjauhkan mereka dari mengingati Allah. Amat jauhlah bagi mereka untuk mengisi masa-masa mereka dengan membaca Al-quran dan menghadiri majlis-majlis imu.

Terdapat juga yang memperhambakan diri mereka menuntut ilmu sehingga melupakan tanggungjawab sebagai hamba Allah s.w.t. Mereka belajar untuk mengejar kecemerlangan sementara tanpa memikirkan kecemrlangan hakiki di Akhirat.

Oleh itu marilah kita bersama-sama bermuhasabah terhadap diri kita, adakah kita sedang dicemari oleh sistem jahiliyyah kini yang menyusup masuk ke dalam kehidupan kita tanpa kita sedari. Bersamalah kita berusaha memperbaiki diri, meningkatkan iman dan menjauhkan diri dari rawasib-rawasib jahiliyyah yang semakin hari semakin pekat di sekitar kita sehingga kadang kala kita tewas.

Firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 11:

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.

 

Berusaha Kearah Perubahan

Gambar