Powered By Blogger

Khamis, 25 September 2008

Thaqafatul Fikr

Salah satu perkara yang agak penting dalam memperbaiki diri kita untuk menjadi seorang rijal Aqidah yang sentiasa tampil bekerja dalam amal Islam dan Dakwah Islam, yang menyeru manusia kepada jalan Allah ialah dia mesti mempunyai Thaqafatul Fikr(Pendidikan Fikiran)

Thaqafatul Fikr merangkumi tiga bahagian asasi, Bahagian pertama ialah pengenalan yang salimah dan sempurna tentang Islam sehingga membolehkan dia melaksanakan Islam dengan pelaksanaan yang betul dan tepat ke atas dirinya seterusnya melayakkannya menyampaikan Islam itu dengan baik kepada orang lain, dia melaksanakan dan menyampaikannya dengan kesyumulannya, dengan kemurnian dan kejatiannya.

Bahagian yang kedua ialah dia mesti mengetahui suasana dan keadaan dunia Islam dahulu dan sekarang, mengenali musuh-musuh Islam dan mengetahui segala cara dan tindak-tanduk mereka. Dia mesti mengetahui peristiwa-peristiwa yang sedang terjadi dan yang mempengaruhi Muslimin dari dekat atau dari jauh. Dia mesti mengetahui siapakah golongan yang bekerja dalam bidang dakwah Islam, mengetahui kecenderungan mereka dan cara-cara mereka bekerja, bagaimana bentuk bantuan yang mereka perlukan dan lain-lain lagi perkara yang lazim bagi seorang yang tampil di hadapan dalam melaksanakan amal Islami.

Bahagian yang ketiga ialah meningkatkan pengkhususan dalam pelbagai bidang urusan keduniaan dan kehidupan seperti kedoktoran, kejuruteraan, pertanian, perusahaan, perniagaan dan lain-lain. Oleh itu, setiap pekerja dakwah hendaklah meningkatkan kemahiran dan pengkhusasan mereka dalam bidang-bidang keduniaan(profesional) supaya dia mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan mengisi tempat-tempat kosong di kala kita membangun dan menegakkan daulah Islamiah. Ini kerana sebahagian besar ilmu-ilmu pengetahuan moden telah diasaskan oleh ulama’ dan cendiakawan Islam zaman dahulu kerana Islam telah mendorong kita mencari ilmu dan belajar dengannya dan dapat menghubungkannya dengan Al Khaliq Allah : Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),(Al ‘Alaq :1)

Oleh itu, semestinya orang-orang yang bekerja dalam bidang dakwah di kalangan pelajar dan mahasiswa supaya mereka menjadi golongan yang terkemuka dalam pelajaran mereka kerana sekiranya mereka terkebelakang, mungkin akan menjauhkan orang lain dari amal dan dakwah Islamnya.

Dipetik dari buku Jalan Dakwah karangan Mustafa Masyhur

Tiada ulasan:

Gambar