Powered By Blogger

Ahad, 21 September 2008

Islam Adalah Akhlak

Islam adalah akhlak. Sebagaimana yang diterangkan oleh As-Syahid Imam Hassan Al Banna adalah bermaksud bahawa Islam mengambil berat soal akhlak. Pengambilan berat Islam terhadap akhlak amatlah jelas, kerana Al-Quran telah menyebutkan akhlak-akhlak yang baik, iaitu akhlak yang menjadi sifat-sifat orang mukmin. Al-Quran menyebutkan sifat-sifat ini dengan cara memuji, menyukai dan menyeru agar berakhlak dengan sifat-sifat tersebut. Al-Quran telah memuji Rasulullah s.a.w. kerana akhlaknya yang tinggi, firman Allah:
( وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ ( 4
“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi-pekerti yang agung”. (S 68:4)
Dalam hadis yang mulia disebutkan:
انما بعثت لأ تمم مكا رم الأ خلاق
‘Saya (rasul) hanyalah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’
Dan diriwayatkan dari Aisyah (r.a), sewaktu beliau menerangkan akhlak Rasulullah s.a.w. Beliau telah berkata:
خلقه القران
‘Akhlak Rasulullah ialah Al-Quran’.
Akhlak adalah mempunyai kedudukan yang menonjol dalam dakwah ikhwan dan ikhwan sentiasa mewajibkan diri mereka agar berakhlak dengan akhlak yang dituntut oleh Islam. Atas dasar ini amatlah salah mereka yang mengatakan bahawa, oleh kerana melihatkan ikhwan amat menitik beratkan soal-soal umum, seruan untuk berakhlak tinggi dan mulia adalah bertentangan
dengan dasar ikhwan. Mereka yang menganggap demikian adalah salah kerana akhlak adalah merupakan sebahagian dari dakwah Islam. Amatlah tidak layak bagi ikhwan mengabaikan sesuatu yang dibawa oleh Islam. Selain dari itu kesempurnaan amal adalah bergantung kepada kesempurnaan maknawi (batin) dan akhlak yang tinggi dan mulia adalah tergolong dalam pengertian maknawi yang akan membuahkan amal yang saleh. Adalah sia-sia kalau kita hanya
memperbaiki lahiriah manusia dan menuntut mereka supaya melakukan amal soleh sedangkan kita membiarkan batinnya menjadi mangsa kepada akhlak yang keji. Oleh yang demikian akhlak sepatutnya mendapat perhatian berat dan jiwa haruslah dididik dengan akhlak yang mulia.
Akhlak tidak harus dibataskan dalam lingkungan sifat-sifat mulia yang telah diketahui umum seperti berbicara dengan lemah-lembut, manis muka dan rendah diri. Malah medan akhlak amatlah luas sebagaimana yang telah digambarkan oleh Aisyah sewaktu menerangkan akhlak Rasulullah s.a.w.
‘Akhlaknya adalah Al-Quran. Oleh yang demikian segala sifat-sifat yang mulia yang dituntut oleh Al-Quran adalah termasuk dalam pengertian akhlak. ٍSifat- sifat sabar, tetap pendirian, tabah, mulia diri, benar, menunaikan janji, tinggi himmah, ikhlas dan sifat-sifat yang lain adalah termasuk dalam akhlak yang tinggi dan mulia. Sifat-sifat yang bertentangan dengan sifat-sifat yang tersebut seperti keluh-kesah, hilang pertimbangan, ragu-ragu, munafik, hina-dina, dusta,
penipu, riak, dan sifat-sifat keji yang lain adalah dituntut supaya ditinggalkan, dan membersihkan diri daripadanya. Apabila diri telah bersih dari akhlak yang keji ini dan apabila diri telah terhias dengan akhlak yang tinggi dan mulia, seorang Islam akan mempunyai peribadi yang kuat, padu, mengutamakan yang baik, berpengaruh dalam hidup dan tabah dalam menghadapi kebatilan.

Dipetik dari Usul 20
As Syahid Imam Hassan Al Banna

Tiada ulasan:

Gambar