Assalamualaikum wrt
Pertamanya marilah kita merafa’kan setinggi kesyukuran kepada Allah atas nikmat dan kurniaanNya kepada kita selaku hamba yang sering lalai dari mengingatiNya. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, sahabat-sahabat serta para pendukung agama ini sehingga hari kiamat.
Setelah sekian lama tidak menulis, maka hari ini ana kembali menulis, memberitakan tentang keadaan ana di sini. Alhamdulillah, ana sudah hampir menamatkan pengajian tahun satu sebagai pelajar perubatan di Jordan ini, Exam final akan menjelang pada minggu hadapan, dan dengan ini jugalah maka sudah hampir genap setahun ana berada di sini. Tarikh 22,23 dan 26 haribulan lapan merupakan hari-hari dimana ana menempuh final exam. Marilah doakan kejayaan kita bersama.
Pengalaman hidup jauh dari keluarga, dari sekolah telah banyak mengajar ana bahawa betapa kepentingan tarbiyyah dalam kehidupan kita. Suasana tarbiyyah di sekolah dahulu sangatlah ana rindui, Iman yang terjaga, biah yang solehah namun kini ana sedari bahawa suasana di luar ini sangatlah berbeza. Kadang kala ana hanyut dalam kelalaian, melupakan hakikat bahawa diri ini seorang hamba. Ya, tarbiyyah amat penting dalam kehidupan kita, tanpa tarbiyyah ke manalah pergi iman kita, tanpa tarbiyyah jahiliyyah mudah menguasai diri kita.
Kini berbaki kurang seminggu lagi sebelum kita melangkah ke bulan Ramadhan. Namun setakat manakah kita bersedia untuk menyambutnya?
Beberapa persediaan perlu kita lakukan sebelum kita menyambut ramadhan. Pertamanya persediaan hati dan iman. Hati dan Iman hendaklah kita sediakan supaya ia mampu mengatasi kehendak nafsu kita dari mengusai diri. Dengan persediaan hati dan iman, kita akan lebih bersedia untuk menumpukan sepenuh jiwa dan raga kita beribadat dalam bulan yang mulia ini. Dengan persediaan ini juga, kita diharap dapat memaksimakan peluang yang ada dalam bulan ini untuk merebut rahmat Allah yang melimpah ruah ketika dibulan ini. Persediaan ini juga merupakan persediaan yang paling penting bagi kita kerana hati merupakan pengawal kepada anggota badan dan berkuasa ke atas diri kita.
Seterusnya, persediaan mental dan fizikal. Puasa merupakan satu ibadah yang sangat unik dan ia menuntut kita supaya menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya. Siapkanlah diri kita supaya kita dapat melaksanakan ibadah puasa kita dengan sempurna apabila tiba bulan Ramadhan. Perbanyakkan puasa sunat dan kurangkan melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah supaya nanti kita dapat penuhi hari kita dalam bulan Ramadhan dengan ibadah dan perkara yang bermanfaat.
Persediaan ilmu pengetahuan, maka adalah mesti bagi kita untuk mendalami hukum-hukum berkenaan puasa serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya supaya kita dapat melaksanakan ibadah kita dengan sempurna.
Sesungguhnya amatlah banyak persediaan yang perlu kita lakukan untuk menyambut kedatangan bulan yang mulia ini.
“ Berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah taqwa”
Semoga kita dapat manfaatkan ramadhan kali ini dan menjadikan ia bekalan kita untuk hari-hari yang mendatang.
“Ya Allah, berkatilah aku di bulan rejab dan sya’ban dan engkau sampaikanlah diriku ini kepada Ramadhan”
Wallahu’alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan