Powered By Blogger

Isnin, 16 Februari 2009

Zuhud

عن أبو العباس سهل بن سعد الساعدى قال جاء رجل الي النبي صل الله عليه وسلم فقال دلني علي عمل اذا عملته أحبني الله وأحبني الناس فقال أزهد في الدنيا يحبك الله وأزهد فيما عند الناس يحبك الناس

Daripada Abu al-'Abbas Sahlu ibn Sa'ad al-Saa'idie r.a. beliau berkata:Seorang lelaki telah datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah! Tunjukkan daku suatu amalan yang apabila aku lakukannya, aku dikasihi oleh Allah dan dikasihi oleh manusia. Baginda bersabda: Zuhudlah engkau terhadap dunia, nescaya Allah kasihkan engkau dan zuhudlah terhadap apa
yang ada pada manusia, nescaya manusia akan mengasihimu.

Hadis Riwayat Ibn Majah

Apa itu Zuhud? Zuhud merupakan satu sifat yang menyebabkan kita hilang rasa kasih terhadap dunia. Zuhud sebenar bukan bererti meninggalkan dunia atau langsung tidak berharta. Zuhud sejati ialah tidak menjadikan dunia dan kemewahan hidup sebagai matlamat hidup, walaupun kekayaannya memenuhi dunia seumpama yang terjadi pada jutawan zaman Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman ibn 'Auf, kerana matlamat hidup seorang mukmin ialah Allah dan keredhaanNya, bukan benda-benda
selainNya.

Sifat ini hendaklah kita usaha pupuk di dalam diri kita kerana sesungguhnya ia akan membawa diri kita dekat kepada Allah. Ingatlah, matlamat kehidupan manusia bukan hendak mengejar dunia tetapi mencapai keredhaan Allah melalui ibadah kita dan kehidupan seharian yang juga sebahagian dari hubungan kita dengan Allah.

Firman Allah dalam surah Az-Zariyat 56

Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku

Zuhud terhadap Allah ialah kita menggunakan nikmat yang Allah berikan kepada kita secara berpada-pada sesuai dengan kemampuan dan anugerah Allah kepada kita, dan hendaklah kita sentiasa rasa bersyukur dan berterima kasih serta menggunakan nikmat tersebut di atas jalan yang di kehendaki oeh Allah swt.

Zuhud terhadap manusia, bererti menjauhkan diri dari merasa irihati terhadap apa yang dimiliki oleh manusia serta mengosongkan hati dari mengingati harta milik orang. lni bukan
bererti membenci sehingga suka agar kesenangan orang lain hilang kerana itu hasad dengki yang amat dilarang.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menyemai dan berusaha mengamalkan sifat zuhud kerana ia sebenarnya merupakan wasilah yang mendekatkan hati kita kepada Allah s.w.t.

Wallahu’alam

Berusaha Kearah Perubahan

Ahad, 15 Februari 2009

Hari Pertama Untuk Sem 2

Alhamdulillah, berlalu sudah hari pertama ana pergi ke jamiah untuk Semester kedua ini. Semester baru dengan azam baru. Sebagai mana yang antum semua ketahui, Semester ini ana hanya ke Jamiah 3 hari seminggu sahaja, jadi masa perlu diatur dengan baik bagi mengelakkan masa ana dibuang kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Insya Allah di hari yang kosong itu, ana merancang untuk menghadiri kelas agama di Jamiah Yarmuk, mempelajari ilmu berkaitan agama Islam. Semoga Allah mempermudahkan perancangan ana.

Bercakap mengenai masa, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri meninjau kembali adakah masa yang Allah s.w.t anugerahkan kepada kita ini diisi dengan perkara yang membawa faedah dan mendekatkan diri kepada Allah?

Masa itu merupakan kehidupan kita, jika kita menghabiskan masa kepada perkara dosa dan melalaikan, sesungguhnya kita membawa hidup kita ke lembah kebinasaan. Oleh itu, berhati-hatilah kita dalam mempergunakan anugerah Allah yang amat bernilai ini.

Marilah kita renungi dan hayati Firman Allah ini :

Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian.  kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.



Surah Al-Ashr 1-3

Berusaha Kearah Perubahan

Sabtu, 14 Februari 2009

Bila Jahiliyyah Menguasai

Sistem kehidupan kini sebenarnya sudah lama dikuasai oleh sistem Jahiliyyah, namun ramai manusia seakan-akan tidak menyedari langsung bahawa mereka kini hidup dalam zaman Jahiliyyah.

Kita lihat sahaja kehidupan seorang remaja kini, sentiasa inginkan kesenangan dan keseronokan semata-mata. Mereka belajar bukan berniat ikhlas untuk menuntut ilmu tetapi ingin mencapai matlamat duniawi. Kehidupan seharian mereka terputus dari mengingati Allah s.w.t. dan sentiasa bergelumang dengan dosa dan maksiat samada mereka sedar mahupun tidak.

Amat sukar bagi kita melihat para remaja sekarang mendekatkan diri mereka di Masjid beribadah tetapi amat mudah untuk kita melihat mereka berada di jalanan dan pusat-pusat membeli-belah melepak dan membuang masa.

Kehidupan mereka dipenuhi dengan perkara-perkara tidak berfaedah, menonton filem-filem dan drama-drama yang sebenarnya menjauhkan mereka dari mengingati Allah. Amat jauhlah bagi mereka untuk mengisi masa-masa mereka dengan membaca Al-quran dan menghadiri majlis-majlis imu.

Terdapat juga yang memperhambakan diri mereka menuntut ilmu sehingga melupakan tanggungjawab sebagai hamba Allah s.w.t. Mereka belajar untuk mengejar kecemerlangan sementara tanpa memikirkan kecemrlangan hakiki di Akhirat.

Oleh itu marilah kita bersama-sama bermuhasabah terhadap diri kita, adakah kita sedang dicemari oleh sistem jahiliyyah kini yang menyusup masuk ke dalam kehidupan kita tanpa kita sedari. Bersamalah kita berusaha memperbaiki diri, meningkatkan iman dan menjauhkan diri dari rawasib-rawasib jahiliyyah yang semakin hari semakin pekat di sekitar kita sehingga kadang kala kita tewas.

Firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 11:

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.

 

Berusaha Kearah Perubahan

Gambar