Di Mana Bumi Di Pijak, Di Situ Islam Di Junjung. Allah adalah tujuan kami, Rasulullah tauladan kami, Al Quran pedoman hidup kami, Jihad adalah jalan juang kami, Mati dijalan Allah adalah cita-cita kami tertinggi.
Selasa, 14 Februari 2012
Kembali
Rabu, 17 Mac 2010
Celoteh malam Exam
Assalamualaikum wbt
Esok, exam midterm untuk HLS, pukul 12-2ptg.
Esok juga ade pilihanraya dekat universiti kami.
Nak kongsi sedikit video promosi dari salah satu parti yg bertanding, video dari parti lain x tahu la ade ke tak…
Doakan kejayaan ana esok…
wassalam
Khamis, 11 Mac 2010
Assalamualaikum
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt
Alhamdulillah ana panjatkan kesyukuran kepada Allah swt atas segala nikmat dan kurnian Allah swt. Dengan izinNya, dapat jugalah ana mencoret sedikit setelah lebih 4 bulan tidak menulis apa-apa disini.
Kepada sahabat-sahabat ana yang meminta ana menulis sesuatu disini, harap dapat maafkan kerana sudah lama ana tidak menulis sesuatupun disini.
Baiklah, permulaanNya, mungkin ana nak cerita sedikit mengenai pengalam-pengalaman yang ana lalui sepanjang 4 bulan ini.
Alhamdulillah, sekarang ana sudah berada pada semester kedua untuk tahun kedua pengajian ana di Jordan ini dalam bidang perubatan. Alhamdulilah jugalah, keputusan peperiksaan untuk semester satu memuaskan walaupun tidaklah “scorer”.
Dan ketika cuti semester satu baru-baru ini, ana telah menjelajah bumi Eropah dengan pergi ke Switzerland selama 9 hari dan merasai pengalaman hidup di negara bukan Islam. Insya Allah sekiranya ada masa, ana akan post satu cerita berkenaan kisah ana di Switzerland.
Selama 4 bulan ini, banyak perkara yang ana rasa telah ana lalui dan ianya memberi kesan yang agak besar dalam diri ana. Ana sudah mula merasai bagaimana budaya hedonisme itu boleh masuk dan mempengaruhi kehidupan seharian ana, merasai kepentingan bersahabat dan bergaul dengan masyarakat sekeliling.
Ana juga mula dapat merasakan kehidupan sebagai seorang ‘senior’ dalam kelompok pelajar disini dan macam-macam lagi lah. Hidup sebagai pelajar ini sebenarnya satu kehidupan yang memberi kita peluang untuk mengumpul seberapa banyak pengalaman sebelum kita meninggalkan dunia pelajar ini.
Sesungguhnya, dalam kehidupan ini, ana merasakan apa yang paling penting adalah bagaimana hubungan kita dengan Allah swt, bagaimana solat kita, bagaimana Al-quran kita, bagaimana dengan ibadah-ibadah kita yang lain. Ini merupakan perkara asas yang perlu kita sentiasa jaga dan ambil peduli supaya hidup kita menjadi hidup yang diberkati Allah swt.
Akhir kata, ana sebenarnya tidak pandai untuk bercerita panjang. Sekadar ini sahajalah coretan dari ana.
Ahad, 16 Ogos 2009
Final Exam dan Ramadhan.
Assalamualaikum wrt
Pertamanya marilah kita merafa’kan setinggi kesyukuran kepada Allah atas nikmat dan kurniaanNya kepada kita selaku hamba yang sering lalai dari mengingatiNya. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, sahabat-sahabat serta para pendukung agama ini sehingga hari kiamat.
Setelah sekian lama tidak menulis, maka hari ini ana kembali menulis, memberitakan tentang keadaan ana di sini. Alhamdulillah, ana sudah hampir menamatkan pengajian tahun satu sebagai pelajar perubatan di Jordan ini, Exam final akan menjelang pada minggu hadapan, dan dengan ini jugalah maka sudah hampir genap setahun ana berada di sini. Tarikh 22,23 dan 26 haribulan lapan merupakan hari-hari dimana ana menempuh final exam. Marilah doakan kejayaan kita bersama.
Pengalaman hidup jauh dari keluarga, dari sekolah telah banyak mengajar ana bahawa betapa kepentingan tarbiyyah dalam kehidupan kita. Suasana tarbiyyah di sekolah dahulu sangatlah ana rindui, Iman yang terjaga, biah yang solehah namun kini ana sedari bahawa suasana di luar ini sangatlah berbeza. Kadang kala ana hanyut dalam kelalaian, melupakan hakikat bahawa diri ini seorang hamba. Ya, tarbiyyah amat penting dalam kehidupan kita, tanpa tarbiyyah ke manalah pergi iman kita, tanpa tarbiyyah jahiliyyah mudah menguasai diri kita.
Kini berbaki kurang seminggu lagi sebelum kita melangkah ke bulan Ramadhan. Namun setakat manakah kita bersedia untuk menyambutnya?
Beberapa persediaan perlu kita lakukan sebelum kita menyambut ramadhan. Pertamanya persediaan hati dan iman. Hati dan Iman hendaklah kita sediakan supaya ia mampu mengatasi kehendak nafsu kita dari mengusai diri. Dengan persediaan hati dan iman, kita akan lebih bersedia untuk menumpukan sepenuh jiwa dan raga kita beribadat dalam bulan yang mulia ini. Dengan persediaan ini juga, kita diharap dapat memaksimakan peluang yang ada dalam bulan ini untuk merebut rahmat Allah yang melimpah ruah ketika dibulan ini. Persediaan ini juga merupakan persediaan yang paling penting bagi kita kerana hati merupakan pengawal kepada anggota badan dan berkuasa ke atas diri kita.
Seterusnya, persediaan mental dan fizikal. Puasa merupakan satu ibadah yang sangat unik dan ia menuntut kita supaya menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya. Siapkanlah diri kita supaya kita dapat melaksanakan ibadah puasa kita dengan sempurna apabila tiba bulan Ramadhan. Perbanyakkan puasa sunat dan kurangkan melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah supaya nanti kita dapat penuhi hari kita dalam bulan Ramadhan dengan ibadah dan perkara yang bermanfaat.
Persediaan ilmu pengetahuan, maka adalah mesti bagi kita untuk mendalami hukum-hukum berkenaan puasa serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya supaya kita dapat melaksanakan ibadah kita dengan sempurna.
Sesungguhnya amatlah banyak persediaan yang perlu kita lakukan untuk menyambut kedatangan bulan yang mulia ini.
“ Berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah taqwa”
Semoga kita dapat manfaatkan ramadhan kali ini dan menjadikan ia bekalan kita untuk hari-hari yang mendatang.
“Ya Allah, berkatilah aku di bulan rejab dan sya’ban dan engkau sampaikanlah diriku ini kepada Ramadhan”
Wallahu’alam
Ahad, 12 Julai 2009
Intikhobat
Assalamualaikum wrt
Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam, Selawat dan Salam ke atas baginda Rasul s.a.w, keluarga baginda serta para sahabat yang diredhai Allah.
P/S : Pesanan ini dikhaskan kepada diri sendiri dan mana-mana ahli PERMAI yang terbaca post ini.
Dah nampak Banner kat atas tu? Jadi post ana kali ini adalah berkaitan dengan Pilihanraya PERMAI ke-6 yang akan diadakan pada hari jumaat ini, 17 Julai 2009.
PERMAI atau nama panjangnya Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid merupakan persatuan induk bagi pelajar Malaysia di tempat ana tinggal sekarang iaitu Irbid. Ahli-ahlinya terdiri dari pelajar dari dua buah Universiti berdekatan iaitu Jordan University of Science and Technology(JUST) dan University of Yarmouk. Percampuran antara dua golongan pelajar dari aliran agama dan sains telah membuahkan masyarakat pelajar yang agak unik di sini. Pelajar perubatan dan pelajar aliran agama saling melengkapi antara satu sama lain.
Dah la, tak reti la nak cerita…
Sebenarnya sepanjang ana berada di Jordan ini, pilihan raya PERMAI ini akan menjadi pilihan raya yang kedua ana mengundi, yang pertama ketika mengundi perwakilan universiti, namun kali ini ana akan mengundi untuk kepentingan masyarakat melayu Islam di Irbid.
Di sini tiada parti-parti yang bertanding, tetapi kami di kehendaki mengundi untuk memilih bakal Presiden PERMAI. Semoga ahli PERMAI bijak dalam memilih bakal Presiden mereka. Ana juga berharap kepimpinan yang bakal dipilih dapat mendukung Islam dalam setiap gerak kerja mereka serta ahli PERMAI dapat sedar bahawa mereka ada tanggungjawab terhadap persatuan mereka.
Maaflah kalau post kali ini agak mengarut tapi ana post ini untuk pengetahuan sahabat-sahabat ana di Malaysia mengenai suasana kehidupan bermasyarakat dekat Jordan ni.
Wallahu’alam
Khamis, 18 Jun 2009
Lambaian…
Assalamualaikum wrt
Nampaknya hajat ana untuk pergi ke Mekah dan Madinah pada 17/6 terpaksa ditunda kepada 18/6 atas sebab peperiksaan Physiology ditangguhkan dari 10/6 kepada 18/6.
Namun ana tetap bersyukur kerana bakal menjadi tetamu Allah dan dapat pergi ke Masjidil Haram dan Masjid An-Nabawi buat kali pertamanya dalam hidup ana.
Moga-moga ibadah Umrah yang bakal ana tunaikan ini diterima Allah dan menjadi pemangkin kepada diri ana untuk terus meningkatkan hubungan dengan Allah serta memperbaiki diri.
Dalam pada itu, sejak akhir-akhir ini banyak kita dengar tentang kematian. Kematian seorang sahabat kita di Mesir iaitu Akh Ammar Zulkifli dan seterusnya pemergian seorang Ulama’ besar iaitu Al-Ustaz Fathi Yakan. Peristiwa ini sebenarnya ingin mengingatkan kita tentang kematian. Mengingati kematian dapat membersihkan hati kita dari karat-karat Jahilliyah.
Allah masih lagi beri peluang kepada kita untuk terus hidup maka, ana mengajak diri ana serta para pembaca sekalian, marilah kita membaiki diri kita kearah yang dikehendaki Allah, mencurahkan segala tenaga, jiwa dan raga kita untuk Islam. Mati dijalan Allah merupakan sebaik-baik kematian dan itulah yang kita sama-sama cita-citakan.
Mungkin ini sahajalah yang dapat ana coretkan, Ya Allah jadikanlah aku salah seorang pendokong agamaMu.
Ahad, 31 Mei 2009
Aku Merindui Kalian
Assalamualaikum wrt
Entah kenapa, ana rasa rindu kepada Sahabat-Sahabat ana, First Gen SMASKL, sahabat-sahabat jillussabuq. Ana merindui kalian semua, kalian dapat memberi kekuatan kepada ana. Ana rindu kenangan kita dulu, ana rindu waktu2 kita bersama, bermain bersama, tidur bersama, sama-sama kita di tarbiyah, sama-sama berusrah. Ana rindu semua itu. Antumlah sahabat ana dunia akhirat. Namun kini, ana tidak sempat untuk menghubungi Kalian semua. Ana berharap nanti kita dapat sama-sama berkumpul dan kita sama-sama merapatkan ukhuwah, bertukar-tukar cerita dan membina kekuatan. Semoga Allah terus memelihara Ukhuwah kita. Ukhuwah kerana Allah. Khas buat sahabat-sahabatku
Hasyimi, Hafiz, Fathi, Najmi, Anas, Faris, Epy, Umar, Uthman, Azfar, Huzaifah, Ahmad, Fattah, Faiz, Nik, Salahuddin, Ihsan, Risqan, ‘Adli, Akram. Ana Bangga dengan Antum semua.
Sabtu, 30 Mei 2009
Final dah Hampir
Assalamualaikum wrt
Nampaknya sejak akhir ini, ana jarang mengeposkan sesuatu ke dalam blog ini, bukan kerana tiada masa atau sibuk, tetapi ana tiada kekuatan untuk menulis. Menulis pun memerlukan kekuatan ke? Mestilah, untuk menulis, perlu memerah otak, mengatur kata. Menulis memerlukan ilmu, dan paling penting sekiranya kita menulis tazkirah dan peringtan perlu mempunyai kekuatan Iman.
Dengan kehidupan dalam zon selesa yang jauh dari masalah dan dugaan, ia telah sedikit sebanyak memberi kesan kepada iman. Ia merupakan dugaan yang paling sukar untuk dihadapi. Ujian kesenangan, ia membuatkan diri ini semakin lalai. Namun mujurlah dengan adanya sahabat2 yang soleh serta tazkirah2 yang mantap, dapat jugalah menjaga diri ini dari terlalu lalai. Yang paling ditakuti, lalai dari mengingati Allah, dan lalai dari menyedari bahawa diri ini merupakan hambaNya.
Menghitung hari, rupanya sudah lebih 9 bulan ana berada di bumi Jordan ini, dan semester kedua pun sudah hampir tamat. Final Exam bakal menjelang tidak lama lagi. Dengan ‘Carry Mark’ yang tidaklah seberapa kerana diri ini yang malas dan lalai, maka sekarang sedang berusaha dan bersiap sedia untuk menghadapi final exam.
Kepada pembaca blog yang setia, ana mengharapkan doa kalian untuk terus berjaya dalam Exam ini, dan tidak lupa supaya tidak lalai dari mengingati Allah. Berikut adalah tarikh final Exam ana beserta carry mark.
2/6/2009- Histology 45/60
10/6/2009- Physiology 44/60
13/6/2009- Anatomy 49/60
15/6/2009- Environment Protection 57/60
16/6/2009- Organic Chemistry 46/60
Dan Insya Allah, jika tiada aral melintang ana akan menunaikan umrah pada 17/6/2009. Semoga pemergian ana ke baitullah dapat membantu menyucikan hati ini dari kemaksiatan dan karat-karat Jahiliyyah.
Perubahan memerlukan pengorbanan
Selasa, 19 Mei 2009
16 Mei
Rasanya masih belum terlambat untuk ana mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru-guru yang pernah mengajar ana, dari semnjak ana di Tadika hinggalah sehingga ana berjaya menamatkan alam persekolahan.
16 mei banyak meninggalkan kenangan dan pengalaman yang pelbagai yang masih segar lagi dalam ingatan ana. Salah satunya ialah peristiwa yang berlaku pada 16 Mei 2006, iaitu ketika ana berada di tingkatan 4. Peristiwa ini sesungguhnya merupakan satu peringatan dan ujian dari Allah.
Pada petang tersebut, selepas kami selesai solat asar berjemaah cuaca mulai mendung dan Ust Suffian, warden kami, mengarahkan kami supaya tidak keluar bermain. Kami di arah untuk duduk di dalam dorm masing-masing, Ana ketika itu duduk di dorm tingkat atas, cuaca semakin buruk. Tiupan angin juga semakin kuat sehingga akhirnya ia mengangkat bumbung Dorm Darul Furqan(tempat ana berada), ia berlaku di hadapan mata ana sendiri. Dalam ketika inilah, Allah menguji kami, adakah kami tabah dalam menghadapi dugaan. Marilah kita hayati video yang kami buat untuk memperingati peristiwa ini.
Semoga dengan peristiwa ini, ia memberi kesan terhadap diri ana, serta sahabat-sahabat perjuangan sekalian.
Dan disini juga, ana ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada para guru ana yang telah bertungkus lumus mengajar ana. Terutama sekali kepada emak ana, seorang guru dan seorang ibu.
Mungkin post kali ini agak tidak tersusun, sudah lama ana tidak menulis disini, dan sudah lama ana merasakan diri ana semakin jauh dari Allah. Ana tidak dapat solat sekhusyuk sebagaimana ketika ana di SMASKL dulu. Tidak dapat merasakan diri ini sebagai pejuang Islam. Tidak sesemangat dahulu dalam study dan tidak seteguh dahulu iman ana.
Mungkin, ana perlu terus meningkatkan diri, berusaha untuk berubah kepada yang lebih baik dan ana amat mengharapkan doa antum semua supaya ana diberi keimanan yang kuat dan terus teguh dalam memperbaiki diri.
Ana pun tak tahulah ape yang ana merepek ni, maaflah atas post yang agak merepek ni. Tapi, semoga ada sesuatu yang kita dapat ambil dari post ini, akhir kata Allah itu sumber kekuatan dan dengan keimanan kepada Allah sahajalah kita akan dapat kekuatan diri.
Wallahua’alam.
Perubahan Memerlukan Pengorbanan
Selasa, 28 April 2009
Sedikit Coretan
Alhamdulillah, dengan izin Allah, ana dapat juga mencoret sesuatu dalam ruangan maya ini setelah hampir sebulan tidak berbuat demikian. Bukan kerana kesibukan tetapi kerana kemalasan diri ana sendiri.
Namun dalam tempoh ini, banyak perkara yang telah ana lalui. Selesai First Exam dan seterusnya program Ma’arad Thaqafi banyak meninggalkan kenangan dan pengalaman yang menarik.
Second Exam pula sudah hampir iaitu pada minggu depan. Akibat sudah lama tidak menulis maka setakat ini sahajalah coretan ana. Doakan ana supaya sentiasa kekal dalam iman dan Istiqomah dengannya.
Wallahu’alam
Khamis, 19 Mac 2009
Kehidupanku di Jordan
Setelah hampir 6 bulan ana disini, banyak pengalaman yang mahu dikongsi bersama. Tapi marilah kita lihat video ini. Kehidupan seharian kami pelajar Malaysia di Irbid, Jordan.
Pilihan Raya JUST
Assalamualaikum wrt
Alhamdulillah diucapkan pujian kepada yang Maha Esa kerana memberi ana ruang untuk mengisi sesuatu ke dalam blog ini setelah hampir sebulan menyepi.
Sedar tak sedar, first exam untuk semester kedua sudah dekat, iaitu pada sabtu ini, dan ini menandakan sudah sebulan lebih ana berada dalam semester kedua dan memasuki alam perubatan yang sebenar. Anatomy, Histology, Physiology dan Organic Chemistry merupakan subjek yang perlu ana kuasai untuk semester ini.
Dan tidak lupa juga usaha dalam mencari mutiara-mutiara yang hanya boleh didapati di bumi ini iaitu, pengalaman dan peluang mendalami agama dari sumber yang terdekat, dari keturunan Bani Hashim sendiri.
Sepanjang sebulan ini, banyak perkara yang ana boleh ambil pengajaran dari pengalaman hidup. Dan yang terbaru, esok akan diadakan pilihan raya Universiti.
Dan parti yang paling menonjol sekali untuk pilihan raya kali ini bagi ana sebagai pelajar baru di Universiti ini ialah Kutlah Ittihad Islamiah yang dikatakan dinaungi oleh sebuah pertubuhan Islam disini. Dan alhamdulillah, mereka juga selalu menang dalam pilihanraya ini.
Cukuplah ana rasa setakat ini ana berkata-kata. Ana memohon maaf sekiranya post kali ini tidak mempunyai isi dan peringatan yang boleh menyentuh Iman. Namun semoga kita boleh sama-sama muhasabah diri dan pertingkatkan Iman.
Wallahu’alam
Ahad, 15 Februari 2009
Hari Pertama Untuk Sem 2
Alhamdulillah, berlalu sudah hari pertama ana pergi ke jamiah untuk Semester kedua ini. Semester baru dengan azam baru. Sebagai mana yang antum semua ketahui, Semester ini ana hanya ke Jamiah 3 hari seminggu sahaja, jadi masa perlu diatur dengan baik bagi mengelakkan masa ana dibuang kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah.
Insya Allah di hari yang kosong itu, ana merancang untuk menghadiri kelas agama di Jamiah Yarmuk, mempelajari ilmu berkaitan agama Islam. Semoga Allah mempermudahkan perancangan ana.
Bercakap mengenai masa, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri meninjau kembali adakah masa yang Allah s.w.t anugerahkan kepada kita ini diisi dengan perkara yang membawa faedah dan mendekatkan diri kepada Allah?
Masa itu merupakan kehidupan kita, jika kita menghabiskan masa kepada perkara dosa dan melalaikan, sesungguhnya kita membawa hidup kita ke lembah kebinasaan. Oleh itu, berhati-hatilah kita dalam mempergunakan anugerah Allah yang amat bernilai ini.
Marilah kita renungi dan hayati Firman Allah ini :
Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.
Surah Al-Ashr 1-3
Berusaha Kearah Perubahan
Selasa, 13 Januari 2009
Waktu-waktu exam.
Berikut adalah tarikh dan waktu untuk Exam ana
Hari Khamis, 15/1
Biology Lab, pukul 9.15-11.15
Hari Sabtu, 17/1
Chemistry, pukul 1.15-3.15
Science Hall 2
Hari Selasa, 20/1
English, pukul 8.15-10.15
Science Hall 2
Hari Khamis 22/1
Pysics, pukul 10:45-12:40
Lab 1,2,3,4
Hari Sabtu 24/1
Biology, pukul 8.30-9.40
Lab 9
Hari Isnin 26/1
Bahasa Arab, pukul 1.15-3.15
Nursing Hall
Harap doa antum mengiringi.
Jadual Semester 2
| القاعة | الوقت | الأيام | الساعات | اسم المساق |
| NURSING HALL | 11:15-12:15 | حد ثل | 3 | تشريح عام |
| قاعة المشرحه | 3:15-5:15 | خميس | 0 | تشريح عام (عملي) |
| MIDDLE HALL | 10:15-11:15 | حد ثل | 3 | بيولوجيا خلويه وانسجه |
| مختبر الانسجة | 11:15-1:15 | خميس | 0 | بيولوجيا خلويه (عملي) |
| NURSING HALL | 1:15-2:15 | حد ثل خميس | 3 | فسيولوجيا عامه |
| D4201 | 8:15-9:15 | حد ثل خميس | 3 | كيمياء عضوية |
| C3018 | 9:15-10:15 | حد ثل خميس | 3 | حماية البيئة |
Ni merupakan Jadual Pembelajaran ana untuk semester 2. Kalau di perhatikan dari jadual ini, ana cuma perlu ke kelas pada hari Ahad, Isnin dan Khamis yang akan bermula pada pukul 8 pagi dan akan berakhir pada pukul 2 petang kecuali hari khamis iaitu 5 petang.
Maknanya ana ada hari Isnin dan Rabu untuk tidak perlu ke Jamiah. Harap ana dapat isi masa ini dengan perkara-perkara yang berfaedah.
Semester 2 ana akan bermula pada 15 Febuari 2009.
Berusaha Ke Arah Perubahan
Ahad, 11 Januari 2009
Hari ini Tasjil
Alhamdulillah, Segala Puji Bagi Allah Tuhan Sekalian Alam. Hari ini merupakan hari untuk ana mendaftar subjek-subjek yang bakal ana ambil untuk semester 2 di JUST.
Bagi semester 2 ini, ana bercadang untuk mengambil 15 credit hours, iaitu 5 mata pelajaran termasuk 1 mata pelajaran ikhtiari. Walaupun final exam semester 1 baru sahaja bermula tetapi kami sudah perlu mendaftar subjek untuk semester 2.
Kepada pembaca-pembaca blog, doakan kejayaan ana dalam final exam untuk semester 1 ini dan seterusnya untuk kejayaan ana dalam bidang yang ana ceburi ini.
Namun, jangan lupa juga berdoa untuk saudara-saudara kita di Gaza yang kini mereka telah dikepung dan akan dibantai oleh yahudi laknatullah dengan kereta-kerata kebal mereka.
Wallahu'alam
Berusaha Ke Arah Perubahan
Sabtu, 10 Januari 2009
1st Post, Final Exam
Assalamualaikum wrt
Ini merupakan post pertama ana untuk tahun 2009 setelah hampir 2 minggu tidak menulis. Alhamdulillah, Allah masih lagi memberi peluang kepada ana untuk menulis diruangan maya ini.
Alhamdulillah, kini final exam untuk 1st semester di Jordan University of Science and Technology sudah bermula. Sedar tak sedar, sudah hampir satu semester ana berada di Jordan. Adik-adik di Malaysia pun sudah mula kembali ke sekolah. Tak tahulah apa yang ana nak ungkapkan.
Mungkin pertamanya, ana sebenarnya rasa rindu kepada SMAKL. Bila tadi ana search SMASKL kat google, ana terjumpa pelbagai video yang diupload oleh adik-adik SMASKL di Internet. Ana dah tengok dah nasyid yang korang nyanyikan dalam perhimpunan. Lagu terakhir 08. Gelombang Keadilan :
Kan melangkah kaki dengan pasti
Menerobos segala onak duri
Generasi baru yang telah dinanti
Tak takut dicaci tak gentar mati
Bagai gelombang terus menerjang
Tuk tumbangkan segala kezhaliman
Dengan tulus ikhlas untuk keadilan
Hingga pertiwi gapai sejahtera
Takkan surut walau selangkah
Takkan henti walau sejenak
Cita kami hidup mulia
Atau syahid mendapat surga
Harap apa yang antum semua nasyidkan tu diterapkan dalam kehidupan seharian.
Kita semua masih ada lagi perjuangan yang perlu diteruskan, berjuang dalam bidang ilmu pengetahuan. Ingatlah, kita menuntut ilmu demi Allah, demi Islam, demi membangunkan ummah. Namun jangan lupa jalan yang yang perlu kita lalui iaitu jalan Dakwah dan Tarbiyyah.
Akhir kalam, ana harap marilah sama-sama kita berdoa ke arah kemenangan, doakan ana yang sedang berada dalam final exam, dan jangan lupa, doa kepada saudara-saudara kita, ibubapa kita, adik-adik kita di Gaza sana, doa supaya mereka diteguhkan hati, diberikan kemenangan ke atas yahudi.
Berusaha ke Arah Perubahan
Sabtu, 13 Disember 2008
Rehlah 3
Alhamdulillah, semalam selesai sudah satu lagi siri rehlah ana menjelajah bumi Jordan, bumi para Anbiya' yang penuh dengan sejarah ketamadunan manusia. Perjalanan bermula seawal 8 pagi dengan menaiki coaster, destinasi pertama kami adalah Qal'ah Ajlun atau dalam bahasa Melayu Kubu Ajlun. Kubu ini telah di bina oleh 'Izz ad-Din Usama ibn Munqidh, seorang panglima dan anak saudara kepada Salahuddin Al-Ayubi. Ianya di bina di atas bukit Bani 'Auf di Ajlun.
Qal'ah Ajlun
Jika ingin menceritakan mengenai sejarah kubu ini, ia mempunyai sejarah yang panjang kerana ia telah digunakan sehingga zaman pemerintahan Khalifah Uthmaniyah sehinggalah berlaku gempa bumi pada 1837 yang merosakkan bangunan kubu ini.
Setelah hampir sejam berada di Kubu tinggalan panglima Islam ini, kami bergerak ke bandar Ajlun untuk bersarapan dan seterusnya meneruskan perjalanan kami ke destinasi seterusnya iaitu Kota Jerash atau Gerasa. Setibanya kami di Jerash, waktu zohor pun tiba dan kami ke Masjid menunaikan solat Jumaat.
Hadrian Arch, South Gate, Gerasa
Jerash atau Gerasa merupakan sebuah kota peninggalan Tamadun Roman. Bandar ini masih lagi berpenghuni sehingga ke hari ini.
Pemandangan Jerash moden dari kota lama Gerasa
Di sini terdapat pelbagai binaan tinggalan tamadun Rom, Byzantine dan Bani Umayyah. Antara binaan-binaan yang boleh dilihat ialah South Theater, North Teather, Colonnaded Street, Zeus Temple dan bermacam-macam lagi. Di sini terdapat juga bekas tapak Masjid dari zaman Bani Umayyah.
Colonnaded Street, Gerasa
Setelah, letih dan puas meneroka bandar purba ini, kami menuju ke Amman. Oleh kerana ramai di antara sahabat ana yang belum menjejak kaki ke Gua Ashabul Kahfi, kami terus menuju ke sana. Ini merupakan kali kedua ana menjejak kaki ke Makam Ashabul Kahfi versi Jordan.
Selepas itu, kami makan malam dan menuju ke Mecca Mall, sebuah pasaraya besar di Bandaraya Amman. Setelah meneroka hampir keseluruhan pasaraya tersebut, saya membeli 2 botol kicap pekat untuk kegunaan rumah, maklumlah di Irbid sangat sukar untuk menemui kicap walaupun kicap cair.
Kami bertolak balik ke Irbid dan tiba di rumah pada pukul 10.30 malam.
Alhamdulillah, Selesai sudah perjalanan sehari merenungi sejarah tamadun manusia. Semoga dengan rehlah ini, dapat membawa diri ana dan sahabat-sahabat ke arah lebih mentaati dan mengkagumi kebesaran Allah. Semoga rehlah ini tidak sia-sia. Wallahu'alam.
Jumaat, 12 Disember 2008
Kepenatan dalam Kegembiraan
Alhamdulillah, selesai sudah Majlis Jom Korban PERMAI dan Majlis Walimatul urus Abg Amir dengan Kak Zayyani.
Teater ADHA pun telah selesai dipentaskan dengan jayanya. Terima kasih di ucapkan kepada semua yang terlibat dalam menyempurnakan teater tersebut. Banyak pengajaran dan pedoman yang boleh kita ambil dari pementasan teater tersebut.
Sedikit sedutan dari Teater ADHA
Kawan, korban tu bukan sembelih binatang sahaja. Sebenarnya yang ALLAH mahu adalah untuk kita manifestasikan ruh pengorbanan itu di dalam kehidupan. Kita mengorbankan nyawa binatang yang kita beli dengan duit kita sendiri, Sebab itu kalau kita lihat, Raya Korban juga dinamakan raya haji. Ibadah haji itu pun memerlukan pengorbanan yang banyak, duit, masa, kesabaran dan sebagainya. Jadi, dari dua ibadah ini, ALLAH hendak manusia itu berfikir, dan cuba menterjemahkan pengorbanan itu di dalam kehidupan mereka.
ALLAH memberikan manusia pelbagai perkara. Tetapi, manusia di dalam kehidupannya, hendak berkorban sedikit pun tak boleh. Manusia tidak faham erti pengorbanan yang sebenar. Sebenarnya, ALLAH tidak ambil percuma pengorbanan kita. ALLAH bayar balik dengan syurga yang lagi mahal.
Kawan, hidup kita dilimpahi pelbagai nikmat. Nikmat-nikmat ini, selain merupakan kasih sayang ALLAH, ia juga merupakan ujian daripada ALLAH. Ia ibarat garam dalam makanan. Diambil berlebihan masin, diambil kurang tawar. Sebab itulah, kita perlu berkorban. Bukan sahaja harta, tetapi juga kesenangan hidup kita, waktu kita. Kau tahu, ada sahabat-sahabat kita di luar sana, yang berkorban nyawa mereka untuk ISLAM. Walaupun mereka tahu mereka tidak akan menang, tetapi mereka yakin dengan janji pembayaran ALLAH kepada pengorbanan mereka. Kita di sini mungkin hannya perlu mengorbankan sedikit kesenangan kita, berkorban sedkit duit kita untuk bersedekah, berkorban sedikit kelenangan kita untuk bersungguh belajar, berkorban sedikit ego kita untuk merendah diri, berkorban sedikit waktu kita untuk berkerja kepada ALLAH. Orang-orang awal sebelum kita juga berkorban, dan ALLAH bayar pengorbanan mereka di dunia dan di akhirat.
Semoga para penonton semua terhibur dan dapat menghayati erti pengorbanan yang sebenarnya. Dan bagi yang tidak menontonya, bolehlah kalian membaca cerpen KORBAN yang diadaptasi dari teater ADHA.
Dan kepada Abg Amir dan Isteri, semoga perkahwinan kalian diberkati Allah dan ke arah pembentukan bait muslim.
Wallahu'alam
Khamis, 11 Disember 2008
ADHA
Alhamdulillah, selesai sudah proses melapah daging korban selama 2 hari, 1 ekor unta, 6 ekor lembu dan 12 ekor kambing sudah di tumbangkan dan masing-masing sudah mendapat bahagian masing-masing. Esok merupakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Adha PERMAI beserta dengan Majlis Walimatul Urus senior ana.
Dan esok merupakan kemuncak Hari Raya bagi kami warga PERMAI, dengan pementasan teater bertajuk ADHA yang julung-julung kali diadakan. Semoga ia menjadi satu kenangan indah dan tidak lupa membawa diri kami warga PERMAI kearah menghayati erti pengorbanan sebenar di hari yang mulia ini.
Trailer Teater ADHA
