Powered By Blogger
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan

Isnin, 26 Oktober 2009

Kembali

Assalamualaikum wbt

Segala puji bagi Allah kerana dengan izinnya Allah telah memberi sedikit kekuatan kepada ana untuk mencoret sesuatu di alam maya ini setalah seberapa lama mendiamkan diri.

Selawat dan salam kita ucapkan kepada jujungan kita Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda serta sahabat-sahabat baginda yang banyak menyumbang kepada tertegaknya deen Allah diatas muka bumi ini.

Tiada apa yang hendak diceritakan cuma sekadar sedikit perkongsian rohani yang ana tujukan khas buat diri ini yang lemah dan lalai ini. Pejam celik tanpa kita sedari, waktu semakin singkat buat kita. Semakin hari, semakin hampir diri ini dengan kematian yang memang sudah menjadi ketetapan terhadap setiap yang hidup. Namun bagaimana pula dengan keimanan diri? Kenapa ana asyik cakap tentang iman? Tidak berimankan ana? Bukan begitu yang dimaksudkan. Kita mesti sedar bahawa soal keimanan merupakan persoalam pokok dalam kehidupan manusia, tanpa iman siapalah kita. Imanlah yang membentuk peribadi Abu Bakar, yang memberi kekuatan kepada Umar dan memberi kemenangan kepada umat Islam dalam pertempuran-pertempuran yang mereka hadapi.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang mafhumnya : Hati ini berkarat seperti berkaratnya besi, maka sahabat bertanya bagaimanakah untuk menyucikannya lalu baginda menjawab, baca al-quran dan mengingati mati.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha untuk memperbaiki iman kita dan menyucikan hati kita dari karat-karat yang mengotorkan hati kita kerana dibimbangi hati kita yang kotor akan terus kotor dan menjadi keras seterusnya mati.

Semoga Allah memberi kekuatan untuk kita terus istiqomah dengan jalan keimanan.

Wallahu’alam

Ahad, 16 Ogos 2009

Final Exam dan Ramadhan.

Assalamualaikum wrt

Pertamanya marilah kita merafa’kan setinggi kesyukuran kepada Allah atas nikmat dan kurniaanNya kepada kita selaku hamba yang sering lalai dari mengingatiNya. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, sahabat-sahabat serta para pendukung agama ini sehingga hari kiamat.

Setelah sekian lama tidak menulis, maka hari ini ana kembali menulis, memberitakan tentang keadaan ana di sini. Alhamdulillah, ana sudah hampir menamatkan pengajian tahun satu sebagai pelajar perubatan di Jordan ini, Exam final akan menjelang pada minggu hadapan, dan dengan ini jugalah maka sudah hampir genap setahun ana berada di sini.  Tarikh 22,23 dan 26 haribulan lapan merupakan hari-hari dimana ana menempuh final exam. Marilah doakan kejayaan kita bersama.

Pengalaman hidup jauh dari keluarga, dari sekolah telah banyak mengajar ana bahawa betapa kepentingan tarbiyyah dalam kehidupan kita. Suasana tarbiyyah di sekolah dahulu sangatlah ana rindui, Iman yang terjaga, biah yang solehah namun kini ana sedari bahawa suasana di luar ini sangatlah berbeza. Kadang kala ana hanyut dalam kelalaian, melupakan hakikat bahawa diri ini seorang hamba. Ya, tarbiyyah amat penting dalam kehidupan kita, tanpa tarbiyyah ke manalah pergi iman kita, tanpa tarbiyyah jahiliyyah mudah menguasai diri kita.

Kini berbaki kurang seminggu lagi sebelum kita melangkah ke bulan Ramadhan. Namun setakat manakah kita bersedia untuk menyambutnya?

Beberapa persediaan perlu kita lakukan sebelum kita menyambut ramadhan. Pertamanya persediaan hati dan iman. Hati dan Iman hendaklah kita sediakan supaya ia mampu mengatasi kehendak nafsu kita dari mengusai diri. Dengan persediaan hati dan iman, kita akan lebih bersedia untuk menumpukan sepenuh jiwa dan raga kita beribadat dalam bulan yang mulia ini. Dengan persediaan ini juga, kita diharap dapat memaksimakan peluang yang ada dalam bulan ini untuk merebut rahmat Allah yang melimpah ruah ketika dibulan ini. Persediaan ini juga merupakan persediaan yang paling penting bagi kita kerana hati merupakan pengawal kepada anggota badan dan berkuasa ke atas diri kita.

Seterusnya, persediaan mental dan fizikal. Puasa merupakan satu ibadah yang sangat unik dan ia menuntut kita supaya menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya. Siapkanlah diri kita supaya kita dapat melaksanakan ibadah puasa kita dengan sempurna apabila tiba bulan Ramadhan. Perbanyakkan puasa sunat dan kurangkan melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah supaya nanti kita dapat penuhi hari kita dalam bulan Ramadhan dengan ibadah dan perkara yang bermanfaat.

Persediaan ilmu pengetahuan, maka adalah mesti bagi kita untuk mendalami hukum-hukum berkenaan puasa serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya supaya kita dapat melaksanakan ibadah kita dengan sempurna.

Sesungguhnya amatlah banyak persediaan yang perlu kita lakukan untuk menyambut kedatangan bulan yang mulia ini.

“ Berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah taqwa”

Semoga kita dapat manfaatkan ramadhan kali ini dan menjadikan ia bekalan kita untuk hari-hari yang mendatang.

“Ya Allah, berkatilah aku di bulan rejab dan sya’ban dan engkau sampaikanlah diriku ini kepada Ramadhan”

Wallahu’alam

Jumaat, 17 Julai 2009

Didik Diri

Assalamualaikum wrt

Pertamanya, marilah kita bersyukur kepada Allah swt atas nikmat Iman dan Islam yang Allah swt telah kurniakan kepada kita serta hendaklah kita pelihara kedua nikmat ini agar Allah swt tidak menarik kembali nikmatnya ini. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, penghulu segala nabi, contoh yang agung untuk diikuti oleh manusia, para keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda yang diredhai Allah, para tabien dan pejuang-pejuang kebenaran .

التربية في أيديكم في أيديكم فقط

Satu ungkapan yang pernah kita dengar, tetapi apakah yang dimaksudkan sebaliknya. Ya, tarbiyah itu ditangan kamu sahaja. Sesungguhnya hanya pemilik diri sahaja yang boleh mentarbiyah dirinya dengan berkesan, suasana luaran cumalah bertindak sebagai pemangkin atau kadang-kadang langsung tidak membantu dalam mentarbiyah diri seseorang.

Faktor kejayaan tarbiyah Islamiyah adalah diri kita sendiri, Allah swt telah memberi kita pilihan dalam menentukan kehidupan kita sama ada Iman atau Kufur  sebagaimana dalam firman Allah swt :

“dan kami ilhamkan kepadanya dua jalan; jalan keburukan dan jalan ketakwaan. Maka beruntunglah mereka yang menyucikan hati. dan rugilah mereka yang mengotorkannya”
(Surah Asy-Syams:8-10)

Sesungguhnya Allah swt telah menyediakan pilihan kepada kita sama ada ingin berada dalam ketakwaan atau terus bersama dalam kekufuran dan kitalah sebanarnya yang memutuskan pilihan jalan hidup kita.

Tiada gunanya ibubapa yang soleh, guru-guru yang mantap, suasana yang solehah tapi sekiranya pemilik hati itu cenderung hendak berada dalam kekufuran dan keingkaran. Faktor-faktor tersebut hanya bertindak sebagai pemangkin sahaja tanpa sedikitpun dapat memberi kesan sekiranya pemilik hati tidak mahu menerimanya.

Saya ingin mengajak diri saya dan para pembaca sekalian bermuhasabah terhadap diri sendiri adakah kita ingin kepada keimanan dan ketakwaan? Adakah kita menjalankan tarbiyah iman kita, sentiasa memperbaharui iman kita?

Firman Allah swt:

“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”
(Surah Ar Ra’d: 11)

Wallahu’alam…

Sabtu, 11 Julai 2009

Tujuan

Assalamualaikum wrt

Alhamdulillah, dengan nikmat dan kurnian Allah swt, ana masih lagi dapat meringankan tangan menulis di ruangan maya ini. Sudah lama ana tidak mencoretkan sesuatu disini sejak ana balik dari Umrah lagi. Sekarang sudah masuk minggu kedua berada dalam Semester Soifi.

Ana juga nak minta maaf kepada mereka yang tertunggu-tunggu post ana terutamanya keluarga, maaf sebab ana lambat bagi tahu ana dah balik Umrah.

Dalam tulisan kali ini ana nak kongsi sesuatu, semoga dari perkongsian ini, kita dapat manfaat di sebaliknya.

Manusia sering tertanya-tanya apakah tujuan kehidupan mereka didunia ini. Ramai manusia yang tidak mengetahui apakah tujuan mereka dihidupkan di dunia ini. Hasilnya, mereka sesat dalam kenikmatan duni, hidup mereka kosong tanpa ruh. Mereka bagai binatang yang cuba memuaskan nafsu syahwat mereka atau seperti robot yang setiap hari melakukan perkara yang sama tanpa mengetahui tujuan kehidupan yang sebenarnya.

Marilah kita tanya diri kita, apakah tujuan kita dihidupkan didunia ini? Allah swt telah memberi jawapan kepada manusia tentang tujuan kewujudan kita di dunia ini sebagaimana dalam firmannya dalam surah Az Zariyat 56

“Dan tidak aku jadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”

Beruntunglah kepada mereka yang mengetahui tujuan kewujudan mereka di dunia ini. Hakikatnya ramai manusia yang masih keliru dengan hakikat kejadian mereka. Namun mereka yang Allah beri kesedaran tentang hakikat kewujudan diri mereka haruslah memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana ia merupakan salah satu nikmat Allah yang sangat besar.

Jadi marilah sama-sama kita menyedari hakikat kewujudan, atau tujuan kehidupan kita di dunia ini. Pengabdian kita kepada pencipta kita, Allah swt. Kita jadikan seluruh kehidupan kita sebagai pengabdian kita kepadaNya semata-mata.

Ingatlah ikrar yang kita ucapkan dalam solat kita

“ Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyasaNya kepada Allah tuhan sekalian alam, tiada sekutu bagiNya dan demikianlah yang diperintahkan kepada dan aku dari kalangan orang yang menyerah diri(muslim)”

Dan juga yang kita ulangi dalam Al-fatihah

“Kepada Engkaulah kami sembah dan kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.

Alhamdulillah, moga kita semua dapat menyedari hakikat ini dan kita berusaha ke arah menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya.

Wallahu’alam

Jumaat, 5 Jun 2009

Munafiq

Assalamualaikum wrt

Hari ini, hatiku agak tersentuh apabila khatib membicarakan mengenai orang-orang munafiq, walaupun ana tidaklah memahami isi khutbah secara keseluruh tapi ana yakin ia menceritakan mengenai orang-orang munafiq.

Bila berbicara soal munafiq, hati ana tertanya-tanya, adakah diri ini tergolong dalam golongan munafiq. Ana perhatikan diri ana, masih banyak lagi sifat munafiq yang melekat pada diri ini, teringat ana pada satu hadith Rasul S.A.W yang ana pelajari di sekolah dahulu :

عن ‏ ‏أبي هريرة رضي الله عنه ‏عن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏آية ‏ ‏المنافق ثلاث إذا حدث كذب وإذا وعد ‏ ‏أخلف ‏ ‏وإذا اؤتمن خان ‏

Dari Abi Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda : Tanda-tanda munafiq itu ada tiga, apabila ia berkata-kata ia dusta, apabila ia berjanji ia mungkir, dan apabila ia diberi kepercayaan ia khianat.
Riwayat Bukhari

Dan juga kita boleh lihat Allah telah ceritakan dalam Al-Quran dalam satu surah khas iaitu surah Al-Munafiqun yang menceritakan perihal orang-orang munafiq.

Namun bukan ini sahaja, masih banyak lagi sifat-sifat orang munafiq yang kita semua ketahui yang semuanya berpaksikan atas satu perkara iaitu berpura-pura. Marilah kita melihat dan muhasabah kembali diri kita, adakah terdapat sifat-sifat munafiq dalam diri kita, dan bagaimana pula usaha kita untuk menyingkirkan sifat ini. Ya, itulah kepentingan saudara seIslam, yang perlu menasihati saudaranya supaya mereka sama-sama tidak termasuk dalam golongan munafiq dan fasiq.

Agama itu nasihat dan dalam nasihat itu terdapat hikmah, menasihati seseorang, kita hendaklah mengikhlaskan niat kerana Allah dan juga menasihati secara berhikmah. Kita perlu mengenali apa yang disukai olehnya dan apa yang tidak disukainya. Ada orang perlu dinasihati secara terus terang dan tidak suka dinasihati secara sindiran. Maka seorang sahabat yang baik perlulah bertaaruf dengan sahabat nya supaya dapat saling membantu dikala lemah.

Perbincangan dalam bab munafiq ini sangat besar, siksaan bagi mereka juga sangatlah berat sebagaimana dalam fiman Allah swt dalam surah An-Nisa’ ayat 145 :

0-0 Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) Neraka dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.

Amat beratlah siksaan bagi golongan ini, marilah kita memohon kepada Allah agar tidak termasuk dalam golongan ini.

Wallahu’alam.

Perubahan memerlukan pengorbanan.

Ahad, 24 Mei 2009

Futur

Assalamualaikum

Di sini ada sedikit perkongsian yang ana dapat dari inbox email ana, harap ia semua boleh menjadi peringatan terutama kepada diri ana sendiri.

Hari ini, seluruh dunia semakin panik apabila digemparkan dgn virus influenza A H1N1

tetapi malangnya tak ramai di kalangan kita yang tahu apakah virus penyakit Futur ?

Marilah bersama-sama kita mengenali virus penyakit Futur yang sangat berbahaya ini

Penyakit influenza A H1N1 telah mengorbankan hampir 100 orang setakat ini

tetapi penyakit futur telah merebak kepada berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia?

berjuta-juta umat Islam sekarang berada di dalam keadaan yang sangat kritikal??

berapa ramai umat Islam yang beriman kepada Allah? sama-samalah kita fikirkan ??

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menta'rifkan Futur :

Bahasa Arab : Behenti selepas bergerak aktif

Istilah : Penyakit yang boleh menimpa sebahagian para da'ie,

            paling rendah ialah lembab & slow

            paling bahaya ialah behenti terus aktif dalam dakwah serta cergas beramal

Sebab:

-meninggalkan jemaah & mengutamakan kehidupan uzlah/ menyendiri

-memakan sesuatu yang haram atau syubhah

-tenggelam dalam maksiat & keseronokan dunia

-bertindak tanpa perancangan & secara individu

-amat sedikit mengingati mati & hari akhirat

-hubbun dunnia wa karahiyatul maut ( cintakan dunia & takutkan mati )

-cuai melaksanakan ibadat : zikir, baca Al-Qur'an, solat berjemaah, qiyam

Kesan

-Kesan kepada Daie : kurang tenaga Da'ie

-Kesan kepada Jemaah : panjang perjalanan, beban bertimbun,

                                      lambat memperolehi kejayaan

Ubat kepada penyakit Futur

- Menjauhi maksiat sama ada kecil @ besar

- melazimi amalan harian : baca Al-Quran & zikir

- sentiasa mengingati mati & persoalan kubur

- menghadiri majlis ilmu/usrah/halaqah

- muhasabah diri /bertaubat nazuha

- mempertingkatkan amalan2 sunat

- sentiasa menjaga hubungan dengan Allah

Kiriman:: Ustaz Khusairi

 

Perubahan memerlukan Pengorbanan

Isnin, 16 Februari 2009

Zuhud

عن أبو العباس سهل بن سعد الساعدى قال جاء رجل الي النبي صل الله عليه وسلم فقال دلني علي عمل اذا عملته أحبني الله وأحبني الناس فقال أزهد في الدنيا يحبك الله وأزهد فيما عند الناس يحبك الناس

Daripada Abu al-'Abbas Sahlu ibn Sa'ad al-Saa'idie r.a. beliau berkata:Seorang lelaki telah datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah! Tunjukkan daku suatu amalan yang apabila aku lakukannya, aku dikasihi oleh Allah dan dikasihi oleh manusia. Baginda bersabda: Zuhudlah engkau terhadap dunia, nescaya Allah kasihkan engkau dan zuhudlah terhadap apa
yang ada pada manusia, nescaya manusia akan mengasihimu.

Hadis Riwayat Ibn Majah

Apa itu Zuhud? Zuhud merupakan satu sifat yang menyebabkan kita hilang rasa kasih terhadap dunia. Zuhud sebenar bukan bererti meninggalkan dunia atau langsung tidak berharta. Zuhud sejati ialah tidak menjadikan dunia dan kemewahan hidup sebagai matlamat hidup, walaupun kekayaannya memenuhi dunia seumpama yang terjadi pada jutawan zaman Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman ibn 'Auf, kerana matlamat hidup seorang mukmin ialah Allah dan keredhaanNya, bukan benda-benda
selainNya.

Sifat ini hendaklah kita usaha pupuk di dalam diri kita kerana sesungguhnya ia akan membawa diri kita dekat kepada Allah. Ingatlah, matlamat kehidupan manusia bukan hendak mengejar dunia tetapi mencapai keredhaan Allah melalui ibadah kita dan kehidupan seharian yang juga sebahagian dari hubungan kita dengan Allah.

Firman Allah dalam surah Az-Zariyat 56

Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku

Zuhud terhadap Allah ialah kita menggunakan nikmat yang Allah berikan kepada kita secara berpada-pada sesuai dengan kemampuan dan anugerah Allah kepada kita, dan hendaklah kita sentiasa rasa bersyukur dan berterima kasih serta menggunakan nikmat tersebut di atas jalan yang di kehendaki oeh Allah swt.

Zuhud terhadap manusia, bererti menjauhkan diri dari merasa irihati terhadap apa yang dimiliki oleh manusia serta mengosongkan hati dari mengingati harta milik orang. lni bukan
bererti membenci sehingga suka agar kesenangan orang lain hilang kerana itu hasad dengki yang amat dilarang.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menyemai dan berusaha mengamalkan sifat zuhud kerana ia sebenarnya merupakan wasilah yang mendekatkan hati kita kepada Allah s.w.t.

Wallahu’alam

Berusaha Kearah Perubahan

Ahad, 15 Februari 2009

Hari Pertama Untuk Sem 2

Alhamdulillah, berlalu sudah hari pertama ana pergi ke jamiah untuk Semester kedua ini. Semester baru dengan azam baru. Sebagai mana yang antum semua ketahui, Semester ini ana hanya ke Jamiah 3 hari seminggu sahaja, jadi masa perlu diatur dengan baik bagi mengelakkan masa ana dibuang kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Insya Allah di hari yang kosong itu, ana merancang untuk menghadiri kelas agama di Jamiah Yarmuk, mempelajari ilmu berkaitan agama Islam. Semoga Allah mempermudahkan perancangan ana.

Bercakap mengenai masa, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri meninjau kembali adakah masa yang Allah s.w.t anugerahkan kepada kita ini diisi dengan perkara yang membawa faedah dan mendekatkan diri kepada Allah?

Masa itu merupakan kehidupan kita, jika kita menghabiskan masa kepada perkara dosa dan melalaikan, sesungguhnya kita membawa hidup kita ke lembah kebinasaan. Oleh itu, berhati-hatilah kita dalam mempergunakan anugerah Allah yang amat bernilai ini.

Marilah kita renungi dan hayati Firman Allah ini :

Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian.  kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.



Surah Al-Ashr 1-3

Berusaha Kearah Perubahan

Sabtu, 14 Februari 2009

Bila Jahiliyyah Menguasai

Sistem kehidupan kini sebenarnya sudah lama dikuasai oleh sistem Jahiliyyah, namun ramai manusia seakan-akan tidak menyedari langsung bahawa mereka kini hidup dalam zaman Jahiliyyah.

Kita lihat sahaja kehidupan seorang remaja kini, sentiasa inginkan kesenangan dan keseronokan semata-mata. Mereka belajar bukan berniat ikhlas untuk menuntut ilmu tetapi ingin mencapai matlamat duniawi. Kehidupan seharian mereka terputus dari mengingati Allah s.w.t. dan sentiasa bergelumang dengan dosa dan maksiat samada mereka sedar mahupun tidak.

Amat sukar bagi kita melihat para remaja sekarang mendekatkan diri mereka di Masjid beribadah tetapi amat mudah untuk kita melihat mereka berada di jalanan dan pusat-pusat membeli-belah melepak dan membuang masa.

Kehidupan mereka dipenuhi dengan perkara-perkara tidak berfaedah, menonton filem-filem dan drama-drama yang sebenarnya menjauhkan mereka dari mengingati Allah. Amat jauhlah bagi mereka untuk mengisi masa-masa mereka dengan membaca Al-quran dan menghadiri majlis-majlis imu.

Terdapat juga yang memperhambakan diri mereka menuntut ilmu sehingga melupakan tanggungjawab sebagai hamba Allah s.w.t. Mereka belajar untuk mengejar kecemerlangan sementara tanpa memikirkan kecemrlangan hakiki di Akhirat.

Oleh itu marilah kita bersama-sama bermuhasabah terhadap diri kita, adakah kita sedang dicemari oleh sistem jahiliyyah kini yang menyusup masuk ke dalam kehidupan kita tanpa kita sedari. Bersamalah kita berusaha memperbaiki diri, meningkatkan iman dan menjauhkan diri dari rawasib-rawasib jahiliyyah yang semakin hari semakin pekat di sekitar kita sehingga kadang kala kita tewas.

Firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 11:

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.

 

Berusaha Kearah Perubahan

Selasa, 13 Januari 2009

WARKAH SANG AZAZIL

mainpix1

Syaitan Laknatullah@Malaikat Azazil,
No. 7, Neraka Jahannam,
Alam Ghaib Milik Allah,

1 Ramadan 1429 H
Negeri Akhirat Yang Abadi.

MENEMUI kalian anak-anak Adam, musuh yang paling kubenci!
Aku memandang langit mega yang terbentang luas. Awan yang berarak memayungi alam fana kelihatan tersenyum riang. Kedengaran kicauan burung-burung yang berterbangan di angkasa raya, berzikir menyambut ketibaannya yang bakal menjelang tiba. Kegelisahanku makin bertimbun menanti tiap detik yang berlalu. Aku makin derita, saat ia hampir mendatangi alam ini. Aku makin menggila saat ia berlabuh dalam dakapan waktu!

Celaka!

Tahun ini ia kembali lagi! Setelah sekian lama aku terseksa, ia mampir menggangguku lagi. Pastinya nanti aku dibelenggu dengan rantaian neraka maha dahsyat oleh malaikat Tuhan Yang Maha Agung yang tidak terperi bilangannya. Pastinya aku akan merengkuk dalam penjara neraka bersama azab daripada-Nya.
Kuperhatikan pula tanah subur menghijau. Air yang mengalir tenang seakan menyindir diriku yang ketakutan. Bayu yang berpuput riang seakan gembira dengan bahana yang bakal menyelubungiku. Pohonan yang meliang-liuk seakan menari-nari, tanda gembira dengan kehadirannya. Ah, peritnya nasibku ini!

Celakalah kalian semua!

Kalau tidak keranamu Adam, aku tidak mungkin dilaknat begini!
Kalau tidak kerana kau Muhammad, mana mungkin aku dibelenggu Ilahi!

Kalau tidak kerana umatmu, takkan hadir kegelisahan dan ketakutan ini!

Dari jauh, aku melihat bala tenteraku menggoda sang umat terakhir sedaya upaya dalam masa yang begitu kritikal. Ada yang berjaya, hingga manusia menganggap akulah Tuhan mereka. Namun ada juga yang terbakar bersama panahan kalimah-Nya. Ada yang cedera, dek kerana keimanan dan ketakwaan yang seberat zarah membatasi nafsu seluas lautan dunia.
Lensa mataku memandang ke arah segerombolan umat manusia yang khusyuk dalam ibadatnya. Aku melihat junta-juntaku berpaut, memujuk rayu sang manusia supaya melupakan Penciptanya. Mempengaruhi akalnya supaya memikirkan dunia. Menguasai hatinya supaya mensyirikkan-Nya. Bagus! Lakukanlah lagi hingga mereka tenggelam dalam nista mereka! Lakukanlah!
Wahai Muhammad Pesuruh Allah, lihatlah apa yang telah bala tenteraku lakukan pada umatmu! Mereka cuba menyesatkan umatmu agar mengikuti kemahuan nafsu dan melupai nikmat syurgawi yang bakal terbentang nanti. Aku tingkatkan nafsu syahwat mereka dengan wanita-wanita yang berpakaian tiada menutup aurat. Mereka kuhasut agar mendedahkan pinggul, perut, dadanya untuk tatapan sekalian alam. Aku hiaskan mereka dengan gelojak nafsu serakah agar mereka bisa menggoda umatmu yang beriman berpaling daripada keimanan mereka, umatmu yang warak dan alim menjadi dungu dan cintakan dunia.
Maka hasilnya, lahirlah anak luar nikah yang tidak berdosa, yang tidak mengenal siapa ibu bapanya. Mereka dibunuh, ditinggalkan bertaburan di muka bumi. Kusogokkan juga keinginan mereka dengan hiburan yang melampau, kebebasan hak manusiawi, kecanggihan teknologi yang semakin disalahertikan, hingga mereka menganggap halal dan haram bukan lagi satu pegangan yang utuh dalam diri mereka dan berkiblatkan urusan duniawi, melupai alam ukhrawi. Saksikanlah kejatuhan agama Tuhanmu, ya Muhammad! Kejatuhan oleh tentangan para pengikutku Yahudi, Nasrani dan Majusi yang mengikut segala telunjukku! Saksikanlah!
Aku ketawa sendirian, bangga melihat usahaku membuahkan hasil setelah sekian lama. Bangsa Yahudi yang bodoh telah menurut kemahuanku. Terima kasih Musa as-Samiri kerana menjadikan aku sebagai panduanmu bagi kaum Yahudi. Terima kasih Saint Paul kerana menjadikan musuhmu, Isa al-Masih sebagai Tuhan bagi umat Nasrani. Aku masih belum puas melihat umat Muhammad yang beriman dipermainkan seperti himar. Disembelih, dibunuh dengan kejam oleh musuhnya yang tidak mengenal erti penat.
Baitulmaqdis menjadi rebutan Yahudi dan umat Muhammad yang beriman. Aku meniupkan hasutanku pada pemimpin-pemimpin Yahudi supaya mendirikan Haykal Beit Hamiqdash atau Temple Of Mount di atas Masjidil Aqsa, tempat suci ketiga bagi umat Islam agar bisa menjadi tempat peribadatan mereka. Aku menghasut mereka supaya menyediakan kota Eretz Yitzrel atau negara Yahudi sebelum kedatangan Messiah, penyelamat untuk mereka. Aku menitipkan kata-kata semangat kepada mereka agar berusaha untuk merampas kembali al-Haram al-Syarif setelah Saidina Umar al-Khattab, musuhku yang paling kutakuti menakluk kota itu. Masih terbayang bagaimana gentarnya aku saat khalifah Al-Faruq itu melalui lorong-lorong kota untuk melihat umatnya. Pandangan matanya cukup menakutkan, hingga aku lari bergelimpangan bersama-sama tenteraku yang lain.
Kukatakan juga bahawa merekalah bangsa paling agung, sedangkan mereka akan menjadi temanku di neraka kelak. Bodohnya manusia, walau akal berdiri utuh di kepalanya!
Entah bagaimana, aku terpandang kembali ke arah langit. Kulihat pintu-pintu rahmat terbuka dengan luasnya. Pintu-pintu syurgawi turut dibuka, sedang para bidadari mempersiapkan diri bagi menyambut ketibaan bulan yang mulia. Kuperhatikan pula kuburan para Muslimin. Dari jauh, aku mendengar laungan kegembiraan daripada mereka. Benar, Ramadan datang membawa sejuta rahmat buat alam dan isinya. Semuanya menikmati rahmat Ilahi melainkan aku sahaja. Bangsat!

Teringat daku akan kata-kata Muhammad sewaktu aku berdiskusi bersama-samanya suatu masa dahulu;

“Andai kau mahu Allah mengampunkan dosamu, maka sujudlah pada kubur Adam, wahai musuh Allah dan hamba-Nya!”
“Tidak! Tidak sekali-kali wahai pesuruh Allah! Aku boleh melakukan apa saja yang diperintahkannya melainkan sujud di kuburan musuh yang telah menyebabkan aku terkeluar dari syurga!” Aku membentak keras.

“Kau terlalu membangga diri dan sombong wahai Azazil laknatullah!” Masih terngiang-ngiang di telingaku suara Nabi Allah itu. Api amarahku semakin marak bila mengenangkan peristiwa pengusiranku dari syurga. Hanya kerana aku tidak mahu sujud kepada Adam, aku dikutuk selama-lamanya. Walhal, dahulu akulah malaikat yang paling taat pada-Mu, Ya Allah! Akulah yang paling banyak memuji dan mengesakan-Mu. Akulah malaikat yang paling mulia di sisi-Mu. Malah, akulah ketua malaikat yang berdoa untuk malaikat yang lain bila mana kau menyatakan bahawa akan ada di kalangan kami yang tersesat. Namun, entah mengapa aku terlupa mendoakan diriku sendiri hingga aku cenderung untuk sesat begini.
Masih mekar dalam ingatanku tatkala aku memohon dipanjangkan usiaku untuk menyesatkan umat manusia lalu Allah memperkenankannya. Aku diberikan umur yang panjang sehingga hari kiamat menjelma tiba. Alangkah gembiranya aku kerana diberikan peluang walaupun aku mengerti azabnya amat pedih.
Sayup-sayup kedengaran suara azan memuji keagungan Allah. Aku melihat para juntaku berlari lintang-pukang, terbakar dengan panahan kalimah tayyibah Tuhan. Aku merasai bahang terbakar pada setiap liang tubuhku.

Ramadan dah tiba! Celakalah kita semua!
Aku mendengar lolongan dahsyat daripada segenap penjuru alam. Seluruh anak pinakku bertaburan menyelamatkan diri daripada dibelenggu malaikat Allah. Bilangannya, sukar untuk diramalkan. Rantaian neraka yang panas membara dilontarkan ke arah junta-juntaku. Lolongan mereka memecah keheningan alam maya. Sakitnya, pedihnya sukar untuk kukatakan. Celakalah Ramadan! Bulan yang menjanjikan kesenangan buat umat Muhammad!
Pantas aku melarikan diri bila mana malaikat mendatangiku. Mereka membawa rantaian panas membara. Namun, aku tewas dengan kekuasaan-Nya. Sudah ditakdirkan aku terpaksa melalui semua ini.

Celakalah Ibrahim, yang membaling batu ke arahku dahulu demi Allah!

Jahanamlah Ayub kerana takwa dan kecekalannya menghadapi ujian Allah!

Durjanalah Sulaiman, kerana pernah menguasai aku suatu masa dahulu!

Leherku direntap sang malaikat dengan tidak semena-mena. Aku meronta, sedang tangan dan kakiku diikat pula dengan besi neraka maha azab. Aku diseret bagaikan himar tua, dibawa memasuki neraka bersama junta-juntaku yang lain. Mereka merintih, menyumpah sekalian umat Muhammad.

Beruntunglah kalian wahai umat Muhammad dengan kedatangan Ramadan al-Mubarak ini! Celakalah kami, musuh Allah yang terpaksa dibelenggu selama sebulan hanya kerana bulan yang mulia ini. Bergembiralah kalian semua, tapi jangan lupa. Kami juga meninggalkan senjata utama kami iaitu nafsu. Berbahagialah mereka yang dapat menguasainya dan celakalah mereka yang dikuasainya! Dan pintu neraka Jahanam ditutup serapat-rapatnya. Kedengaran suara lolongan maha dahsyat bergema, memecah keheningan mayapada.

Salam takziah daripadaku buat kalian semua!

Yang benar,

AZAZIL

Adakah Ramadhan sebelum ini memberi kesan kepada kita, setelah hampir 5 bulan. Dan adakah kita akan dapat berjumpa dengan Ramadhan seterusnya?

Berusaha Ke Arah Perubahan

Sabtu, 10 Januari 2009

1st Post, Final Exam

Assalamualaikum wrt

Ini merupakan post pertama ana untuk tahun 2009 setelah hampir 2 minggu tidak menulis. Alhamdulillah, Allah masih lagi memberi peluang kepada ana untuk menulis diruangan maya ini.

Alhamdulillah, kini final exam untuk 1st semester di Jordan University of Science and Technology sudah bermula. Sedar tak sedar, sudah hampir satu semester ana berada di Jordan. Adik-adik di Malaysia pun sudah mula kembali ke sekolah. Tak tahulah apa yang ana nak ungkapkan.

Mungkin pertamanya, ana sebenarnya rasa rindu kepada SMAKL. Bila tadi ana search SMASKL kat google, ana terjumpa pelbagai video yang diupload oleh adik-adik SMASKL di Internet. Ana dah tengok dah nasyid yang korang nyanyikan dalam perhimpunan. Lagu terakhir 08. Gelombang Keadilan :

Kan melangkah kaki dengan pasti
Menerobos segala onak duri
Generasi baru yang telah dinanti
Tak takut dicaci tak gentar mati
Bagai gelombang terus menerjang
Tuk tumbangkan segala kezhaliman
Dengan tulus ikhlas untuk keadilan
Hingga pertiwi gapai sejahtera
Takkan surut walau selangkah
Takkan henti walau sejenak
Cita kami hidup mulia
Atau syahid mendapat surga

Harap apa yang antum semua nasyidkan tu diterapkan dalam kehidupan seharian.

Kita semua masih ada lagi perjuangan yang perlu diteruskan, berjuang dalam bidang ilmu pengetahuan. Ingatlah, kita menuntut ilmu demi Allah, demi Islam, demi membangunkan ummah. Namun jangan lupa jalan yang yang perlu kita lalui iaitu jalan Dakwah dan Tarbiyyah.

Akhir kalam, ana harap marilah sama-sama kita berdoa ke arah kemenangan, doakan ana yang sedang berada dalam final exam, dan jangan lupa, doa kepada saudara-saudara kita, ibubapa kita, adik-adik kita di Gaza sana, doa supaya mereka diteguhkan hati, diberikan kemenangan ke atas yahudi.

Berusaha ke Arah Perubahan

Ahad, 21 Disember 2008

Rintihan Subuh

Pada pagi itu,seperti mana pagi2 yang lain,aku menyambut kedatangan seorang tetamu tetapku.

" Assalamualaikum",seru Subuh.

" Wa'alaikumsalam",sahutku.
Dan kami terus berpelukan,tanda rindu serta kasih sayang.Kutanya khabar subuh,bagaimana keadaanya mengembara dari satu tempat ke satu tempat.
" Tadi...",kata Subuh dengan sayu,"...aku baru saja melintasi satu tempat.Kucari tempat persinggahan,Ku ketuk rumah2 yang sunyi,tapi satupun yang tiada mahu menerimaku sebagai tetamu."Dan airmata Subuh pun berlinangan."Subuh,usah kau pedulikan mereka,bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan?Subuh mengangkat mukanya seolah2 teringat sesuatu.
"Oh ya,tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya disebalik sungai.Orang2nya sepertimu,menyambutku dengan penuh kesukaan,menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan.Hidangan yang paling aku suka adalah buah Tahajjud,puas kucari dibumi lain,tapi jarang ku jumpai.Di situ aku meratah buah Tahajjud dengan puas dengan leka".Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu.Aku fahami maksud Subuh.
"Maaf Subuh,aku tiada menanam pohon Al-Lail,jadi aku tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai.Tapi aku ada roti Shiyam",cadangku pada Subuh.

Subuh menolak dengan hormat."Roti itu ada tuan punya",kata Subuh.
"Adakah kau mahu manisan Zikir?"rayuku pada Subuhu.

"Baiklah,ambilkan aku sedikit,serta bawakan aku segelas Air Mata Tangisan",pinta Subuh.

Aku agak sugul,bagaimana harusku beritahu pada Subuh,yang Mata Air Tangisan sudah hampir kering akibat kemarau Maksiat yang Berpanjangan?
Aku terkejut.Perigi tersebut hampir separuh penuhnya.Dan aku berdetik didalam hati,adakah ini tanda kemarau akan berakhir?Tanpa berlengah lagi kubawa Air tersebut pada Subuh,tetamu yang kusanjungi,dan kusuakan manisan yang dipintanya.Selesai menjamah kesemuanya,Subuh pun melirikkan sebuah senyuman.
"Subuh...", seruku

"...mahukah kau tinggal selamanya denganku?Aku memerlukan teman dalam kesunyian.Akan kulayan kau dengan sebaiknya,wahai subuh".

Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak akan terpenuhi.

"Aku perlu menziarahi ramai orang,dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka,sepertimana aku menguliti mimpimu".
Dan aku akur dengan penjelasan Subuh."Subuh",...seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi,"Sudikah kau menziarahiku lagi esok hari?"."InsyaAllah",jawab Subuh,"...bukankah aku kekasih yang kau rindui?".Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap.
"Assalamulaikum",seru Subuh.

" Wa'alaikumsalam",jawabku kembali.

P/S : Bagaimanakah dengan diri kita? Bagaimana kita menyambut subuh? Adakah kita masih berada di bawah selimut diulit mimpi atau bangkit bagai pejuang? Fikir-fikirkanlah...

Ahad, 14 Disember 2008

Adab Menyambut Tetamu

Mari kita lihat video bagaimana cara yang baik untuk menyambut tetamu. Semoga dengan video ini, dapatlah kita ambil pengajaran dan pedoman dan cuba dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.

Isnin, 1 Disember 2008

Musafir Perantau

عن ابن عمر رضي الله عنهما قال: (( أخذ رسول الله بمنكبي، فقال آن في الدنيا آأنك
غریب أو عابر سبيل)) وعن ابن عمر رضي الله عنهما یقول: (( إذا أمسيت فلا تنتظر
الصباح، وإذا أصبحت فلا تنتظر المساء، وخذ من صحتك لمرضك، ومن حياتك لموتك ))
  رواه البخاري                                                                       

Daripada lbnu 'Umar r.a. رضي الله عنهما beliau berkata:
Rasulullah SAW telah memegang bahuku seraya bersabda: Hiduplah engkau di dunia seolah-olah engkau seorang perantau atau musafir lalu.
lbnu 'Umar r.a. pernah berkata:
Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang. Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

Hadith riwayat Bukhari

Pengajaran

Ingatlah bahawa kehidupan kita di dunia hanyalah sementara, Rasulullah telah mengingatkan kita bahawa kehidupan di dunia ini ibarat musafir, suatu ketika nanti kita sama ada akan sampai ke destinasi yang dituju atau tersesat ditengah jalan. Ini semua bergantung kepada persiapan yang kita lakukan untuk musafir tersebut. Destinasi kita adalah akhirat dan bekalan kita sepanjang perjalanan adalah taqwa. Sebagaimana dalam firman Allah:

وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى

Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana Sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah Taqwa

Al Baqarah 197

Dan janganlah kita menangguh-nangguhkan amalan kebajikan yang kita hendaklah lakukan sebagaimana pesan Ibn Umar di atas. Kerana kita bimbang peluang yang kini berada pada tangan kita boleh hilang tanpa kita sedari. Oleh itu gunalah peluang ini sebelum ianya ditarik balik.

Wallahu'alam

Jumaat, 21 November 2008

Allah Melupakan dan Meninggalkan kita?

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى (١٢٤)قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَى وَقَدْ كُنْتُ بَصِيرًا (١٢٥)قَالَ كَذَلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَلِكَ الْيَوْمَ تُنْسَى (١٢٦)وَكَذَلِكَ نَجْزِي مَنْ أَسْرَفَ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِآيَاتِ رَبِّهِ وَلَعَذَابُ الآخِرَةِ أَشَدُّ وَأَبْقَى (١٢٧)أَفَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ كَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِنَ الْقُرُونِ يَمْشُونَ فِي مَسَاكِنِهِمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لأولِي النُّهَى

"Dan sesiapa Yang berpaling dari ingatan dan petunjukKu, maka Sesungguhnya adalah baginya kehidupan Yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada hari kiamat Dalam keadaan buta".

Ia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku Dalam keadaan buta, padahal Aku dahulu melihat?"

Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadaMu, lalu Engkau melupakan serta meninggalkannya, dan Demikianlah Engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan".

Dan Demikianlah Kami membalas orang Yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan Demi Sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.

Adakah tersembunyi serta belum jelas lagi kepada mereka: berapa banyak Kami telah binasakan dari kamu-kaum Yang terdahulu daripada mereka, sedang mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya pada Yang demikian ada tanda-tanda (untuk mengambil iktibar) bagi orang-orang Yang berakal fikiran.

Surah Taha : 124-128

Marilah kita renung kembali, adakah kita berpaling dari petunjuk dan ingatan dari Allah? Bagaimana sikap kita terhadap Al Quran, adakah kita menunaikan hak-haknya? Semoga dengan membaca ayat ini, hati kita bergetar, takut kepada masa apabila kita dilupakan, sebagaimana saidina Umar ibn Al Khattab bimbang dia tidak dapat masuk Syurga.

Kita fikirkan, adakah kita selalu ingat kepada Allah dalam setiap perbuatan kita? Marilah kita cuba menjaga hubungan kita dengan Allah, kita hendaklah sentiasa merasai Allah itu hampir dengan kita supaya nanti kita tidak tergolong dalam golongan yang dilupakan oleh Allah dan dibiarkan buta dalam kegelapan di Akhirat kelak.

Wallahu'alam..

Rabu, 19 November 2008

Siapakah Orang Yang Untung ? Siapakah Orang Yang Rugi ?

Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang paling sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya
seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Siapakah orang yang manis senyuman nya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah
orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun."
Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi Aku reda dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan
tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada
sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun
masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati
tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana
telah menggunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari seksa neraka.

Khamis, 6 November 2008

PENYAKIT-PENYAKIT JIWA

Jika kita lihat, ramai manusia kini berada dalam lembah kehinaan. Mereka telah menjadikan hawa nafsu mereka sebagai matlamat utama kehidupan mereka. Masalah ini sebenarnya berpunca dari hati dan jiwa yang sakit. Berikut merupakan antara penyakit-penyakit jiwa yang biasa terdapat dalam diri manusia :

1. Mensyirikkan Allah S.W.T

Syirik merupakan satu kesalahan yang amat besar di sisi Allah S.W.T. Syirik akan memisahkan terus seseorang dari iman.

2. Melakukan amalan yang berdosa kepada Allah S.W.T

Dosa akan menjauhkan diri seseorang dari Allah S.W.T dan menyebabkan dia sukar menerima kebenaran dan melaksanakan kebaikan.

3. Lalai terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada hambaNya yang Muslim.

Ramai manusia kini lupa bahawa mereka merupakan hamba Allah dan tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba.

4. Menghina dan memandang rendah kepada orang-orang dikasihi oleh Allah S.W.T

Ini berlaku dimana ramai manusia kini memandang rendah sebahagian sahabat Rasulullah S.A.W

5. Meninggalkan keputusan Allah S.W.T dalam kehidupan, sebaliknya mengambil keputusan yang lain.

Realiti kini, segala ketentuan dan ketetapan Allah dipandang tidak baik dan tidak diredhai oleh manusia.

6. Tidak merujuk kepada Allah S.W.T sebaliknya mengambil rujukan yang lain dalam permasalahan hidup meliputi bidang ilmu pengetahuan, sistem, peraturan dan sebagainya.

7. Tidak bergantung harap kepada Allah S.W.T, sebaliknya bergantung harap kepada ilah-ilah selain daripada Allah S.W.T

Meskipun manusia mengakui bahawa mereka merujuk dan bergantung kepada Allah S.W.T tetapi hakikatnya tidak jika dilihat pada praktik kehidupan manusia.

8. Mencurigai, syak dan sangsi kepada janji-janji dan peringatan-peringatan Allah S.W.T

Allah menjanjikan syurga kepada hambanya yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh serta azab neraka bagi mereka yang menentang Allah S.W.T. Namun, ramai manusia yang sangsi terhadap janji-janji ini berdasarkan pelaksanaan hidup mereka. Jika mereka yakin, sudah tentu kehidupan manusia akan berbeza dari sekarang.

Inilah antara penyakit-penyakit jiwa yang semakin parah melanda manusia. Ia merupakan satu wabak yang tersebar dengan begitu cepat dalam kalangan pemuda-pemuda Islam. Umat Islam perlu segera bertindak bagi membasmi penyakit ini.

Selasa, 4 November 2008

Muhasabah Diri

MONOLOG

"Wahai yang empunya diri, sudahkah selesai mendirikan solat?""Sudah, Alhamdulillah"

"Apakah kamu telah berniat dan mengangkat takbir ketika memulakan solatmu?""Ya"

"Apakah ketika kamu memasang niat dan mengangkat takbir itu,kamu rasakan itu mungkin solatmu yang terakhir, kerana mati boleh menjemput bila-bila masa?" "Tidak..."

"Adakah lidahmu menyebut 'Allahu Akbar', hatimu turut mebesarkan Allah?" "Tidak...."

"Kalau begitu, kamu tidak benar-benar berniat dan mengangkat takbir" "......"

"Ketika lidahmu melafazkan doa iftitah, adakah hatimu mengiyakan bahawa hidupmu dan matimu hanya untuk Allah Yang Maha Esa?" "Tidak"

"Ketika Surah Al Fatihah kamu baca, adakah hatimu bersyukur kepada Allah, tuhan yang kamu sembah dan tempat meminta pertolongan, lantas kamu memohon diberi petunjuk ke jalan yang diredhai-Nya dan dijauhkan dari jalan yang sesat lagi dimurkai-Nya?" "Tidak...."

"Kalau begitu, kamu sebenarnya tidak membaca apa-apa dalam solatmu" "....."

"Adakah kamu telah menyempurnakan rukuk dan sujud serta menjaga pergerakanmu agar tidak mendahului imam?" "Ya"

"Dan ketika rukuk dan sujud itu, adakah hatimu tunduk dengan penuh rasa hina diri ke hadrat Allah dan benar-benar merasakan kebesaran-Nya dan kamu merasakan Allah melihatmu dan menilai solatmu yang sedang kamu kerjakan?" "Tidak...."

"Kalau begitu, kamu sebenarnya tidak rukuk dan sujud" "...."

"Dalam solatmu, adakah kamu berniat mendekatkan diri kepada Allah dengan mengerjakan suatu amal juga kebaikan yang utama?" "Tidak..."

"Dan ketika kamu akhiri solatmu dengan ucapan salam, adakah hatimu berasa takut jika solat yang baru kamu kerjakan tadi tidak diterima Allah lalu amalan itu dilempar kembali kemukamu, di samping menaruh harapan agar Dia mahu menilai solatmu sebagai pengabdian dirimu?" "Tidak.."

"Kalau begitu, kamu sebenarnya tidak mendirikan solat-tidak mengingati dan mendekatkan dirimu dengan Allah melalui solatmu. Hati-hatilah kerana Allah telah berfirman : 'Neraka Wail bagi orang-orang yang solat, yang mereka itu lalai dalam solatnya'.(Surah Al Ma'un: 4-5)"

"Astaghfirullahhal'azim,.........Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk memperbaiki solatku dan menjadikannya sebagai wadah untukku lebih mendekatkan diriku kepada-MU"

Isnin, 13 Oktober 2008

Iman = Roda

Iman merupakan satu perkara yang amat penting dalam kehidupan seorang muslim. Salah satu sifat bagi iman ialah ianya boleh bertambah dan berkurang. Namun sebagai seorang mukmin sejati, perubahan yang berlaku pada imannya tidaklah sehingga menyebabkan dirinya jatuh ke dalam lembah dosa-dosa besar. Dan iman yang lemha mempunyai tanda-tandanya yang tersendiri, jadi apakah tanda bagi lemahnya iman? Rasa lemah dalam melaksanakan amal dan rasa kekerasan hati, iaitu kita merasakan hati kita keras dan sukar untuk menerima dan melaksanakan amalan kebaikan. Kedua, Ibadah yang kita laksanakan tidak memberi kesan terhadap diri kita. Dua perkara ini sekiranya ada pada diri kita, ketahuilah bahawa kemungkinan iman kita sedang lemah dan perlu kita perkuatkan dan perbaharui iman kita. Seterusnya, apa pula faktor yang melemahkan iman kita. Pertama ialah selalu dalam melaksanakan dosa dan kederhakaan, kita hendaklah mengelakkan dari melakukan dosa-dosa kecil dan besar kerana ia akan melemahkan iman kita. Kedua, munculnya sifat keras dan sukar untuk menerima kebenaran, selain itu, ketidak tekunan kita dalam melaksanakan ibadah sama ada ibadah wajib mahupun sunat antara faktor yang membawa kepada penurunan iman kita. Sifat malas dan selalu meremeh-temehkan ibadah juga akan melemahkan iman seseorang.

Apa pula perkara yang boleh menguatkan dan meningkatkan iman kita, pertama kita hendaklah selalu mengingati mati dan perbanyakkan membaca Al-Quran. Kita juga perlu sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu dan zikir yang akan mengingatkan kita kepada Allah. Merenung dan memikirkan tentang kehebatan ciptaan Allah juga akan menyebabkan keimanan kita semakin bertambah. Wallahua'lam

Jumaat, 10 Oktober 2008

Ujian

Kira-kira sudah seminggu lebih Ramadhan meninggalkan kita. Syawal yang menjelang di sambut dengan penuh keinsafan dan kegembiraan. Namun kehidupan kita sebagai hamba perlu diteruskan, perlu menempuh pelbagai ujian dan dugaan. Apabila menyebut soal ujian dan dugaan, teringatku kepada firman Allah dalam Surah Al Ankabut : Aliff Lam Mim, patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Kita mengatakan bahawa kita merupakan seorang Islam, tapi adakah kita Islam dengan sebenar-benarnya, apakah bukti keislaman kita sekiranya kita tidak di uji. Begitulah kehidupan kita didunia ini, setiap sesuatu yang kita katakan perlukan bukti. Apabila kita mengucapkan dua kalimah syahadah, apakah pula bukti kata-kata kita tersebut, kita berkata aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah tetapi adakah kita lebih mengutamakan Allah dari perkara lain. Kita juga berkata bahawa nabi Muhammad Salallahu 'Alaihi Wassallam merupakan Rasulullah dan contoh teladan bagi kita tapi adakah kita telah mengikuti segala sunnah Baginda.

Allah sentiasa akan menguji kita apabila kita mengatakan bahawa kita beriman kepada Allah supaya ia menjadi bukti keimanan kita. Ingatlah bahawa apabila Allah menguji kita, ia merupakan tanda kasih sayang Allah pada kita. Lihat sahaja para Rasul dan Nabi diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan. Dan ingatlah bahawa ujian itu bukan sahaja ujian material tetapi dengan ujian keimanan : seorang muslim dan mukmin sejati akan merasakan apabila dia meninggalkan ibadah sunat juga merupakan ujian baginya.

Bagaimana dengan hati kita? Iman kita...

Marilah kita bermuhasabah diri, cari kelemahan diri sendiri dan cuba perbaiki..
Seorang yang mengaku dirinya daie pasti lebih banyak ujian yang dialami, lebih banyak dari muslim biasa. Sekiranya kita begitu banyak ujian, ingat Allah sayang kita dan sebab kita mengaku bahawa kita lebih dari orang lain. Jadi hadapilah dengan usaha dan penuh tawakal kepada Allah.

Gambar