Powered By Blogger

Khamis, 25 September 2008

Thaqafatul Fikr

Salah satu perkara yang agak penting dalam memperbaiki diri kita untuk menjadi seorang rijal Aqidah yang sentiasa tampil bekerja dalam amal Islam dan Dakwah Islam, yang menyeru manusia kepada jalan Allah ialah dia mesti mempunyai Thaqafatul Fikr(Pendidikan Fikiran)

Thaqafatul Fikr merangkumi tiga bahagian asasi, Bahagian pertama ialah pengenalan yang salimah dan sempurna tentang Islam sehingga membolehkan dia melaksanakan Islam dengan pelaksanaan yang betul dan tepat ke atas dirinya seterusnya melayakkannya menyampaikan Islam itu dengan baik kepada orang lain, dia melaksanakan dan menyampaikannya dengan kesyumulannya, dengan kemurnian dan kejatiannya.

Bahagian yang kedua ialah dia mesti mengetahui suasana dan keadaan dunia Islam dahulu dan sekarang, mengenali musuh-musuh Islam dan mengetahui segala cara dan tindak-tanduk mereka. Dia mesti mengetahui peristiwa-peristiwa yang sedang terjadi dan yang mempengaruhi Muslimin dari dekat atau dari jauh. Dia mesti mengetahui siapakah golongan yang bekerja dalam bidang dakwah Islam, mengetahui kecenderungan mereka dan cara-cara mereka bekerja, bagaimana bentuk bantuan yang mereka perlukan dan lain-lain lagi perkara yang lazim bagi seorang yang tampil di hadapan dalam melaksanakan amal Islami.

Bahagian yang ketiga ialah meningkatkan pengkhususan dalam pelbagai bidang urusan keduniaan dan kehidupan seperti kedoktoran, kejuruteraan, pertanian, perusahaan, perniagaan dan lain-lain. Oleh itu, setiap pekerja dakwah hendaklah meningkatkan kemahiran dan pengkhusasan mereka dalam bidang-bidang keduniaan(profesional) supaya dia mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan mengisi tempat-tempat kosong di kala kita membangun dan menegakkan daulah Islamiah. Ini kerana sebahagian besar ilmu-ilmu pengetahuan moden telah diasaskan oleh ulama’ dan cendiakawan Islam zaman dahulu kerana Islam telah mendorong kita mencari ilmu dan belajar dengannya dan dapat menghubungkannya dengan Al Khaliq Allah : Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),(Al ‘Alaq :1)

Oleh itu, semestinya orang-orang yang bekerja dalam bidang dakwah di kalangan pelajar dan mahasiswa supaya mereka menjadi golongan yang terkemuka dalam pelajaran mereka kerana sekiranya mereka terkebelakang, mungkin akan menjauhkan orang lain dari amal dan dakwah Islamnya.

Dipetik dari buku Jalan Dakwah karangan Mustafa Masyhur

Ahad, 21 September 2008

Islam Adalah Akhlak

Islam adalah akhlak. Sebagaimana yang diterangkan oleh As-Syahid Imam Hassan Al Banna adalah bermaksud bahawa Islam mengambil berat soal akhlak. Pengambilan berat Islam terhadap akhlak amatlah jelas, kerana Al-Quran telah menyebutkan akhlak-akhlak yang baik, iaitu akhlak yang menjadi sifat-sifat orang mukmin. Al-Quran menyebutkan sifat-sifat ini dengan cara memuji, menyukai dan menyeru agar berakhlak dengan sifat-sifat tersebut. Al-Quran telah memuji Rasulullah s.a.w. kerana akhlaknya yang tinggi, firman Allah:
( وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ ( 4
“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi-pekerti yang agung”. (S 68:4)
Dalam hadis yang mulia disebutkan:
انما بعثت لأ تمم مكا رم الأ خلاق
‘Saya (rasul) hanyalah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’
Dan diriwayatkan dari Aisyah (r.a), sewaktu beliau menerangkan akhlak Rasulullah s.a.w. Beliau telah berkata:
خلقه القران
‘Akhlak Rasulullah ialah Al-Quran’.
Akhlak adalah mempunyai kedudukan yang menonjol dalam dakwah ikhwan dan ikhwan sentiasa mewajibkan diri mereka agar berakhlak dengan akhlak yang dituntut oleh Islam. Atas dasar ini amatlah salah mereka yang mengatakan bahawa, oleh kerana melihatkan ikhwan amat menitik beratkan soal-soal umum, seruan untuk berakhlak tinggi dan mulia adalah bertentangan
dengan dasar ikhwan. Mereka yang menganggap demikian adalah salah kerana akhlak adalah merupakan sebahagian dari dakwah Islam. Amatlah tidak layak bagi ikhwan mengabaikan sesuatu yang dibawa oleh Islam. Selain dari itu kesempurnaan amal adalah bergantung kepada kesempurnaan maknawi (batin) dan akhlak yang tinggi dan mulia adalah tergolong dalam pengertian maknawi yang akan membuahkan amal yang saleh. Adalah sia-sia kalau kita hanya
memperbaiki lahiriah manusia dan menuntut mereka supaya melakukan amal soleh sedangkan kita membiarkan batinnya menjadi mangsa kepada akhlak yang keji. Oleh yang demikian akhlak sepatutnya mendapat perhatian berat dan jiwa haruslah dididik dengan akhlak yang mulia.
Akhlak tidak harus dibataskan dalam lingkungan sifat-sifat mulia yang telah diketahui umum seperti berbicara dengan lemah-lembut, manis muka dan rendah diri. Malah medan akhlak amatlah luas sebagaimana yang telah digambarkan oleh Aisyah sewaktu menerangkan akhlak Rasulullah s.a.w.
‘Akhlaknya adalah Al-Quran. Oleh yang demikian segala sifat-sifat yang mulia yang dituntut oleh Al-Quran adalah termasuk dalam pengertian akhlak. ٍSifat- sifat sabar, tetap pendirian, tabah, mulia diri, benar, menunaikan janji, tinggi himmah, ikhlas dan sifat-sifat yang lain adalah termasuk dalam akhlak yang tinggi dan mulia. Sifat-sifat yang bertentangan dengan sifat-sifat yang tersebut seperti keluh-kesah, hilang pertimbangan, ragu-ragu, munafik, hina-dina, dusta,
penipu, riak, dan sifat-sifat keji yang lain adalah dituntut supaya ditinggalkan, dan membersihkan diri daripadanya. Apabila diri telah bersih dari akhlak yang keji ini dan apabila diri telah terhias dengan akhlak yang tinggi dan mulia, seorang Islam akan mempunyai peribadi yang kuat, padu, mengutamakan yang baik, berpengaruh dalam hidup dan tabah dalam menghadapi kebatilan.

Dipetik dari Usul 20
As Syahid Imam Hassan Al Banna

Sabtu, 13 September 2008

Kalam Rasul

kDaripada Abi Najih ‘Irbadh bin Saryah R.A. berkata : Telah menasihati kami oleh Rasulullah s.a.w. akan satu nasihat yang menggentarkan hati kami dan kami menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata : Ya Rasulullah ! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami. Lalu baginda pun bersabda : Aku berwasiat akan kamu supaya brtakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa’ Ar Rasyidin Al Mahyidin ( Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar ) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara baru (bida’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bida’ah itu sesat.

H.R. Abu Daud dan Tarmizi

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketaqwaan itu di sini - sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali -Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap orang muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.

H.R. Muslim

Gambar