Powered By Blogger

Selasa, 14 Februari 2012

Kembali

Assalamualaikum wbt

Agak2 dah berapa lama dah tak tulis apa-apa di sini?
Dah penuh dengan habuk..

Hari ni telefon mak, lepas tu mak tanya kenapa lama dah tak tulis kat sini.
Nak kata sibuk tak de la sibuk, tapi rasa malas nak menulis.


Ok la, update sikit tentang keadaan ana di Jordan.

Alhamdulillah dah hampir 5 bulan dah ana masuk ke Alam klinikal ni. Dah habis pun rotation Paedatric. Sekarang tengah Internal Medicine dan Insya Allah dalam 3 minggu lagi Exam OSCE untuk Internal Medicine.

Rasa tu la sikit nak kongsi. Dah lama tak menulis jadi tak tahu nak tulis apa.



Selasa, 23 Mac 2010

Munajat Seorang Hamba

Dikala malam sunyi sepi
Bani insan tenggelam dalam mimpi
Musafir yang malangini pergi membasuh diri
Untuk mengadap-Mu oh Tuhan

Lemah lutut ku berdiri
Di hadapan mu tangisanku keharuan
Hamba yang lemah serta hina
Engkau terima jua mendekati
Bersimpuh dibawah duli kebesaran-Mu

Tuhan hamba belum pasti
Bagaimana penerimaan-Mu
Dikala mendengar pengaduanku
Ku yakin Kau tak mungkiri
Dalam wahyu yang Kau nuzulkan
Kau berjanji menerima pengaduanku

Dan Kau berjanji sudi mengampunkan ku
Dari segala dosa yang ku lakukan

Ampunan-Mu Tuhan
Lebih besar dari kesalahan insan
Hamba yakin pada keampunan-Mu Tuhan
Bukan tidak redha dengan ujian
Cuma hendak mengadu pada-Mu
Tempat hamba kembali nanti di sana

Isnin, 22 Mac 2010

Switzerland-Part 1

Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnianya Allah telah memberi ana luangan masa untuk berkongsi sedikit pengalaman ana selama ana bercuti bagi semester satu baru-baru ini.

Pada cuti semester kali ini, Allah telah memberi peluang kepada ana untuk menjejak kaki ke Eropah. Ana telah menghabiskan cuti kali ini dengan menjelajah bumi Switzerland. Bumi yang terkenal dengan pemandangan pergunungan Alps yang cantik dan menakjubkan. Maha Suci Allah yang menjadikan segala keindahan alam ini, agar kita dapat mengambil manfaat daripadanya.

30 Januari 2010

Ana, Rozaili dan Afnan bertolak dari Irbid selepas asar, Kami menuju ke Mujamma’ Amman Jadid untuk mengambil service ke Dimasyq. Tiba disana kami bertemu rakan-rakan lain dan membeli tiket bas dari Dimasyq ke Istanbul bersama-sama. Perjalanan ke Istanbul mengambil masa hampir 32 jam. Kami bertolak dari Dimasyq pada jam 9 malam.

31 Januari 2010

Jam 1.45 pagi, kami tiba di Sempadan Syria Turki. Selepas hampir 1  jam kami berurusan di sana, kami meneruskan perjalan dan tiba di Hatay pada pukul 4 pagi. Di sini, kami terpaksa menaiki bas lain untuk meneruskan perjalanan ke Istanbul. Jam 11 pagi, barulah kami bertolak ke Istanbul. Sepanjang perjalanan kami, bas kami singgah di beberapa bandar utama Turki seperti Adana dan Ankara untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

1 Febuari 2010

Mimbar Masji BiruJam 5 pagi kami tiba di Istanbul. Kami bersarapan pagi di stesen bas dan kemudian menuju ke Sultanahmet, di sana kami solat subuh di sebuah masjid. Seterusnya kami semua mencari hostel untuk rakan-rakan kami yang bercadang untuk menghabiskan masa mereka di Istanbul. Apabila hari agak cerah, kami bertiga mencari tiket untuk kami ke destinasi seterusnya iaitu Switzerland. Dalam usaha mencari tiket, kami masih lagi sempat untuk bersiar-siar sekitar kawasan Sultanahmet di mana terdapatnya di sini Hagia Sophia, Masjid Biru, Topkapi Palace dan macam-macam lagi lah, setelah meng’survey’ kebanyakan travel agensi, kami pun dapat satu kedai yang menjual tiket pada kadar harga yang agak berpatutan iaitu 140 Euro untuk pergi dan balik, tiket pergi dari Sabiha Gocken ke Zurich dan tiket balik dari Basel  Europort ke Sabiha Gocken, syarikat tambang murah Turki,  Pegasus.

Selepas itu, kami solat zuhur di Masjid biru dan seterysnya kami pergi ke Panorama 1453, sebuah muzium berkenaan penawanan Sultan Muhammad Al-fateh terhadap kota Constantinople, atau kini dikenali sebagai Istanbul. Kemudian kami bersiar-siar di Grand Bazar. Seterus kami makan malam di sebuah restoran Turki dan kami pulang ke Hostel.

Bersambung…Di Panorama 1453Dalam Masjid Biru Hagia SophiaSalad TurkiMakanan Turki ( x ingat nama)Makanan Turki ( x ingat nama)Makanan Turki ( x ingat nama)

Rabu, 17 Mac 2010

Celoteh malam Exam

Assalamualaikum wbt

Esok, exam midterm untuk HLS, pukul 12-2ptg.

Esok juga ade pilihanraya dekat universiti kami.

Nak kongsi sedikit video promosi dari salah satu parti yg bertanding, video dari parti lain x tahu la ade ke tak…

Doakan kejayaan ana esok…

wassalam

Jumaat, 12 Mac 2010

Study Week

Assalamualaikum wbt

Minggu depan ana tiada kelas… minggu ‘study’. Insya Allah ana akan ambil ‘midterm examination’ pada 18/3 ni, hari khamis untuk subjek HematoLymphatic System(HLS).  Hari tu juga Universiti kami mengadakan pilihan Raya. Jadi lepas exam boleh la terus pergi mengundi.

HLS ni merupakan subjek yang agak menarik, ye la belajar tentang darah, bagaimana pembentukannya dan penyakit-penyakit yang berkait dengan darah sepert leukemia, Anemia dan macam-macam lagi la.

Tapi bila kita belajar tentang tubuh badan Manusia ni, kita akan nampak kebesaran Allah swt, betapa telitinya Allah swt dalam menciptakan kita sebagai sebaik-baik makhluknya. Allah ciptakan sel darah putih sebagai barisan pertahanan untuk tubuh badan kita. Sungguh kompleks dan teratur sistem pertahanan ini.

Rasanya setakat ini sahaja celoteh ana kali ini, Insya Allah kalau di izinkan ana akan menulis lagi di lain-lain waktu.

p/s : kepada mereka yang tertunggu-tunggu kisah ana di Switzerland, sabar ye… ada masa nanti ana tulis..

Khamis, 11 Mac 2010

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah ana panjatkan kesyukuran kepada Allah swt atas segala nikmat dan kurnian Allah swt. Dengan izinNya, dapat jugalah ana mencoret sedikit setelah lebih 4 bulan tidak menulis apa-apa disini.

Kepada sahabat-sahabat ana yang meminta ana menulis sesuatu disini, harap dapat maafkan kerana sudah lama ana tidak menulis sesuatupun disini.

Baiklah, permulaanNya, mungkin ana nak cerita sedikit mengenai pengalam-pengalaman yang ana lalui sepanjang 4 bulan ini.

Alhamdulillah, sekarang ana sudah berada pada semester kedua untuk tahun kedua pengajian ana di Jordan ini dalam bidang perubatan. Alhamdulilah jugalah, keputusan peperiksaan untuk semester satu memuaskan walaupun tidaklah “scorer”.

Dan ketika cuti semester satu baru-baru ini, ana telah menjelajah bumi Eropah dengan pergi ke Switzerland selama 9 hari dan merasai pengalaman hidup di negara bukan Islam. Insya Allah sekiranya ada masa, ana akan post satu cerita berkenaan kisah ana di Switzerland.

Selama 4 bulan ini, banyak perkara yang ana rasa telah ana lalui dan ianya memberi kesan yang agak besar dalam diri ana. Ana sudah mula merasai bagaimana budaya hedonisme itu boleh masuk dan mempengaruhi kehidupan seharian ana, merasai kepentingan bersahabat dan bergaul dengan masyarakat sekeliling.

Ana juga mula dapat merasakan kehidupan sebagai seorang ‘senior’ dalam kelompok pelajar disini dan macam-macam lagi lah. Hidup sebagai pelajar ini sebenarnya satu kehidupan yang memberi kita peluang untuk mengumpul seberapa banyak pengalaman sebelum kita meninggalkan dunia pelajar ini.

Sesungguhnya, dalam kehidupan ini, ana merasakan apa yang paling penting adalah bagaimana hubungan kita dengan Allah swt, bagaimana solat kita, bagaimana Al-quran kita, bagaimana dengan ibadah-ibadah kita yang lain. Ini merupakan perkara asas yang perlu kita sentiasa jaga dan ambil peduli supaya hidup kita menjadi hidup yang diberkati Allah swt.

Akhir kata, ana sebenarnya tidak pandai untuk bercerita panjang. Sekadar ini sahajalah coretan dari ana.

Isnin, 26 Oktober 2009

Kembali

Assalamualaikum wbt

Segala puji bagi Allah kerana dengan izinnya Allah telah memberi sedikit kekuatan kepada ana untuk mencoret sesuatu di alam maya ini setalah seberapa lama mendiamkan diri.

Selawat dan salam kita ucapkan kepada jujungan kita Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda serta sahabat-sahabat baginda yang banyak menyumbang kepada tertegaknya deen Allah diatas muka bumi ini.

Tiada apa yang hendak diceritakan cuma sekadar sedikit perkongsian rohani yang ana tujukan khas buat diri ini yang lemah dan lalai ini. Pejam celik tanpa kita sedari, waktu semakin singkat buat kita. Semakin hari, semakin hampir diri ini dengan kematian yang memang sudah menjadi ketetapan terhadap setiap yang hidup. Namun bagaimana pula dengan keimanan diri? Kenapa ana asyik cakap tentang iman? Tidak berimankan ana? Bukan begitu yang dimaksudkan. Kita mesti sedar bahawa soal keimanan merupakan persoalam pokok dalam kehidupan manusia, tanpa iman siapalah kita. Imanlah yang membentuk peribadi Abu Bakar, yang memberi kekuatan kepada Umar dan memberi kemenangan kepada umat Islam dalam pertempuran-pertempuran yang mereka hadapi.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang mafhumnya : Hati ini berkarat seperti berkaratnya besi, maka sahabat bertanya bagaimanakah untuk menyucikannya lalu baginda menjawab, baca al-quran dan mengingati mati.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha untuk memperbaiki iman kita dan menyucikan hati kita dari karat-karat yang mengotorkan hati kita kerana dibimbangi hati kita yang kotor akan terus kotor dan menjadi keras seterusnya mati.

Semoga Allah memberi kekuatan untuk kita terus istiqomah dengan jalan keimanan.

Wallahu’alam

Ahad, 23 Ogos 2009

Ramadhan dan Pewaris

Marilah kita sama-sama pertingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan terus-menerus mempertingkatkan keiltizaman dan kepatuhan kepada titah perintah Allah suruhan dan tegahan-Nya.  Marilah kita terus bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita telahpun mendapat hidayah,

kita berada di dalam satu barisan orang-orang beriman yang menerima deen Allah, deen Islam dan kita berdo’a semoga kita dikekalkan Allah untuk terus berada di dalam hidayah-Nya serta istiqomah di atas jalan Islam.

Perkara pertama yang ingin diutarakan di sini ialah, kita semua adalah generasi pewaris.

Barisan pewaris adalah sekumpulan individu ( rijal )  yang mewarisi tugas dakwah dan pembentukan serta tugas-tugas  yang ditinggalkan atau diamanahkan oleh Rasulullah s.a.w.   Pewaris mestilah memiliki sifat-sifat tertentu.  Berada di dalam golongan  pewaris  adalah kurniaan, pilihan dan kehendak Allah s.w.t.

Golongan yang mewarisi  kerja-kerja Rasulullah s.a.w ini akan sentiasa wujud sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w (bermaksud) ;
“ Akan sentiasa ada sekumpulan dari umatku yang lahir di atas haq sehingga datang  ketentuan Allah s.w.t dan mereka tetap sedemikian.  “

Bagaimana mengenali  golongan  pewaris itu ?.

Rasulullah s.a.w mengisyaratkan satu panduan dalam sabda baginda (bermaksud):

“sebagaimana  aku dan sahabat-sahabatku berjalan di atasnya “

Perkara kedua yang ingin ditekankan di sini ialah marilah kita menjadikan memasuki madrasah Ramadan dengan penuh persediaan.  Sahabat Rasul SAW melakukan persiapan Ramadan enam bulan sebelum masuknya Ramadan.  Itulah piawai yang ada jika nak dibandingkan dengan kita.

Di dalam kitab Dasar-dasar Islam, Imam Maudidi rhm. Menjelaskan bahawa  ibadah kedua yang diwajibkan oleh Allah SWT ialah puasa.  Sebagaimana halnya solat, ibadah ini juga diwajibkan dalam syariat semua rasul-rasul yang sebelum ini.  Imam Maududi menggariskan mengapa puas diwajibkan? Antaranya ialah:

1. Tujuan perhambaan seumur hidup kepada Allah SWT

2. Ibadat:  Latihan perhambaan

3. Puasa adalah ibadah yang tersembunyi

4. Puasa tanda kekuatan iman

5. Latihan terus menerus sebulan penuh

6. Latihan kepatuhan yang lama

7. Situasi lingkungan yang sangat menunjang untuk tadrib(latihan)

Huraian:

1. Tujuan perhambaan seumur hidup

Tujuan Islam yang sebenarnya ialah menjadikan seluruh hidup manusia beribadat kepada Allah SWT.  Manusia lahir sebagai hamba kepada Tuhannya.  Justeru itu manusia tidak boleh bebas sedikitpun dari ibadat, perhambaan kepada Allah SWT dalam fikiran, perkataan dan perbuatan.  Dalam setiap tingkah laku hidupnya, manusia perlu memeriksa jalan yang mana yang harus dilaluinya agar dapat mencapai redha Allah, dan ia juga perlu mengenalpasti jalan yang manakah yang perlu dijauhi agar tidak terkena murka dan kutukan-Nya.  Pendekata, apabila seluruh hidupnya telah diwarnai dengan warna yang demikian, barulah ia dianggap telah melaksanakan kewajipan perhambaannya kepada Allah seperti yang terkandung dalam ayat:

`Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya berubudiyah kepada-Ku’

51:56

2. Ibadat:  Latihan perhambaan

Tujuan sebenar kewajipan-kewajipan deen seperti solat, haji, puasa dan zakat adalah untuk melatih kita menjalankan ibadah yang besar.  Pekerjaan-pekerjaan tersebut adalah WAJIB.  Apabila anda telah mengerjakan ruku’ dan sujud selama 5x sehari, menanggung lapar dan haus selama 30 hari di bulan Ramadan, dan bila kita kaya, telah mengeluarkan zakat dan menunaikan haji sekali seumur hidup; kita merasakan yang anda telah selesai menunaikan kewajipan anda terhadap Allah.  Dan tidak juga bererti bahawa setelah melakukan itu semua lalu anda bebas dari PERHAMBAAN kepada Allah dan boleh berbuat apa sahaja yang kita suka.  Walhalnya tujuan utama diwajibkan keWAJIPAN2 deen adalah untuk melatih kita dengan cara yang demikian rupa agar kelak kita mampu mengubah seluruh hidup kita menjadi suatu IBADAH yang tetap teratur kepada Allah.  Marilah sekarang kita mengingati tujuan ini.  Kita melihat bagaimana puasa mempersiapkan manusia untuk melaksanakan ibadah yang fulltime ini.

3. Puasa adalah ibadah yang tersembunyi

Semua kewajipan agama selain puasa dilaksanakan dengan suatu perbuatan atau gerakan lahiriyah yang tertentu, yang boleh dilihat oleh mata kasar.  Misalnya dalam solat, ketika duduk, berdiri, ruku’ dan sujud, setiap orang boleh melihatnya;  dalam ibadah haji, orang bermusafir jauh bersama-sama dengan puluhan ribu orang lain, orang yang lainnya dapat menyaksikannya.  Apabila kita mengerjakannya, orang lain pasti akan tahu; juga bila kita tidak mengerjakannya di depan orang lain, orang pun akan tahu juga bahawa kita tidak mengerjakannya.  Puasa berbeza dengan ini, kerana puasa adalah IBADAH  yang tidak nampak nyata.  Hanya Allah yang Maha Mengetahui yang tahu bahawa seseorang itu berpuasa atau tidak.

4. Puasa:  Tanda kekuatan iman

Sentiasalah disemat dalam minda kita dan renungkanlah betapa kuatnya iman orang yang berpuasa kepada Allah SWT.  Apabila Seorang hamba itu benar-benar berpuasa, ia tidak akan makan dan minum apa pun secara sembunyi-sembunyi sebelum waktu berbuka.  Dalam cuaca yang panas dan keras sekalipun. Atau ketika kerongkong terasa kering dan haus yang bersangatan, kita tidak akan meminum air walau sedikitpun.  Lihatlah betapa kuatnya keyakinannya bahawa tak ada satupun perbuatannya yang tersembunyi dari mata Allah, walaupun kita dapat menyembunyikan dari seluruh mata dunia.  Betapa hatinya dipenuhi rasa takut kepada Allah, sehingga ia mahu menghadapi bahaya mati kelaparan demi menjalankan perintah Allah, dan tidak mahu melakukan sesuatu yang dapat membatalkan puasanya!  Betapa dalam keyakinannya akan pahala dan hukuman di akhirat nanti, selama 1 bulan penuh ia berpuasa, dan tidak pernah sedetikpun keraguan tentang kehidupan selepas mati memasuki hatinya.  Seandainya ia ragu tentang hakikat hidup sesudah mati, di mana pahala dan hukuman akan diberikan, pasti ia tidak akan mampu menyelesaikan puasanya.

5. Latihan terus menerus sebulan penuh

Dengan cara ini Allah SWT menguji iman seorang Muslim selama sebulan penuh, dalam 1 tahun.  Apabila ia lulus dalam ujian ini maka imannya akan menjadi lebih kuat.  Jadi puasa adalah sekaligus cubaan dan latihan.  Apabila anda percaya kepada seseorang, maka seolah-olah anda menguji integritinya.  Bila ia terbukti lulus dalam ujiannya dan tidak mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepadanya, maka kekuatannya untuk menanggung beban amanah akan menjadi lebih kuat, dan ia akan menjadi lebih layak untuk memikul amanah.  Sama halnya dengan Allah SWT, Allah menguji iman anda dengan ujian yang keras selama 1 bulan penuh, 12-14 jam dalam sehari.  Dan bila anda lulus ujian ini, maka akan tumbuh dan berkembang kemampuan untuk menahan diri dari dosa-dosa yang lain, kerana takut kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

`Wahai orang2 yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang2 yg sebelum kamu, agar kamu berTAQWA’

2:183

6. Latihan kepatuhan dalam suatu jangkamasa yang lama

Puasa memaksa seseorang untuk mematuhi syariat Allah secara terus menerus, tanpa henti dalam jangka waktu yang lama.  Lamanya waktu untuk mengerjakan solat hanyalah beberapa minit sahaja.  Waktu membayar zakat hanyalah sekali dalam setahun.  Haji memang memerlukan waktu yang lama, tetapi hal itu hanya diwajibkan 1x dalam seumur hidup, dan juga hanya bagi orang yang mampu shj.  Tetapi puasa berbeza dengan itu semua, kerana puasa adalah suatu latihan untuk kita mengikuti syariat Ar-Rasul SAW dalam waktu 1 bulan penuh dalam setahun, siang malam.  Anda perlu bangun awal pagi sebelum Fajar untuk bersahur, berbuka pada waktu Maghrib tepat pada waktunya, makan dan berehat sebentar, kemudian terus bergegas untuk solat Terawikh.  Dengan cara yang sebegini, setiap tahun dalam waktu 1 bulan penuh, dari subuh hingga waktu Maghrib, dan dari Maghrib sampai waktu pagi, seorang Muslim diikat terus menerus seperti seorang perajurit.  Kemudian selepas itu ia dilepaskan selama 11 bulan untuk mempraktikkan dan menunjukkan hasil-hasil yang diperolehinya selama latihan tersebut.

7. Situasi yang sangat menunjang untuk training

Latihan yang seperti ini tidaklah efektif bila dilakukan oleh individu secara terpisah-pisah.  Misalnya, parade tidak dikerjakan secara sendiri2 oleh perajurit.  Seluruh perajurit perlu bangun di saat trompet dibunyikan agar mereka dibiasakan bekerja dalam satu kumpulan dan saling bantu membantu dalam menjalankan latihan.  Apa yang kurang dalam diri perajurit itu ditampung oleh parajurit yang lain.  Samalah halnya , bulan Ramadan telah dijadikan waktu berpuasa dan semua orang Islam diperintah untuk berbuka bersama-sama.  Perintah ini mengubah ibadah individual menjadi ibadah kolektif.  Sebagaimana halnya bila dikalikan nilai 1 trilion maka hasilnya akan menjadi setrilion, demikian juga keuntungan moral dan spiritual dari puasa, yang dilakukan oleh 1 bilion orang, akan menjadi 1 billion kali lipat bila puasa dilakukan oleh 1 bilion orang bersama-sama.  Bulan Ramadan mengisi seluruh suasana kesalihan dan kebajikan.  Di lingkungan seluruh bangsa, kesalihan tumbuh dengan subur.  Setiap orang tidak hanya cuba menghindari dosa, tetapi juga berusaha membantu saudara2nya yang dalam kesusahan dalam menjalankan puasanya.  Setiap orang merasa malu dalam berbuat dosa.  Sebaliknya semua terdorong untuk berbuat kebaikan, untuk memberi makanan kepada orang miskin, memberi pakaian kepada orang yang tidak punya pakaian, memberi makan kepada orang miskin, ikut serta dalam kebaikan yang dilakukan di mana sahaja, dan mencegah kejahatan yang dilakukan secara terang-terangan.

`Setiap perbuatan manusia memperoleh pahala dari Tuhannya.  Satu perbuatan baik diberi pahala 10 – 700 kali lipat.  Akan tetapi Allah mengatakan:  Puasa itu khusus bagi-Ku, dan aku memberinya pahala sebanyak yang Aku kehendaki’

Al-hadith

Daripada hadith ini, dapatlah kita ketahui bahawa semua perbuatan yang baik berkembang pahalanya menurut proportion niat serta manfaat yang dihasilkannya, tetapi semua perbuatan itu mempunyai batas pahalanya.  Akan tetapi dalam hal puasa perkembangannya tidak terbatas.  Semakin banyak kita mengerjakan perbuatan baik dengan ikhlas di bulan ini, semakin besarlah pula BERKAH yang akan kita perolehi.  Dan jika kita memelihara efek-efek bulan puasa ini selama 11 bulan berikutnya, maka kebun kebajikan ini akan terus berkembang dan berlanjutan.  Mengapa kita hanya membatasi kebaikan dan perbuatan baik ini setelah Ramadan?

DI MANAKAH NATIJAH IBADAH ITU SEKARANG?

Setelah kita mendengar huraian hasil-hasil puasa tersebut, kita akan tertanya-tanya:  di manakah natijah puasa itu sekarang?  Kita berpuasa, solat serta berdoa, akan tetapi natijahnya tidak kita rasai dan nampak.  Antara sebabnya ialah kita melaksanakan Islam itu secara terpisah-pisah dan menggantikannya dengan hal-hal yang di luar Islam.  Justeru itu kita tidak dapat melihat hasil yang sebenarnya.

Di samping itu sebab yang kedua ialah kerana pandangan kita mengenai hakikat IBADAH telah berubah..  Sekarang kita menyakini bahawa puasa hanya sekadar menahan diri dari makan dan minum, dari pagi hingga ke petang.  Walhal anda tidak menyedari akan ruh IBADAH yang perlu menjiwai setiap tindakan dan perbuatan anda.

Sebab itulah ibadah-ibadah yang kita lakukan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana di dalam Islam, sesuatu itu bergantung kepada NIAT, PEMAHAMAN DAN WAWASAN.

Sebagai penutupnya, marilah kita memasuki madrasah Ramadan dengan penuh sedar dan persediaan.

‘Ya Allah pilihlah kami sebagai tetamu Ramadan, kurniakanlah kami rahmat dan maghfirah, titiskan kami airmata taubat, hiaskan lidah kami dendangan tadarus, selimutilah malam kami dengan terawikh berbantal tahajjud.  Semoga kami mewarisi Al-JANNAH.  Jadikanlah Ramadan ini yang terbaik untuk kami.’

Selamat menyambut Ramadan Al Mubarak.

Ahad, 16 Ogos 2009

Final Exam dan Ramadhan.

Assalamualaikum wrt

Pertamanya marilah kita merafa’kan setinggi kesyukuran kepada Allah atas nikmat dan kurniaanNya kepada kita selaku hamba yang sering lalai dari mengingatiNya. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, sahabat-sahabat serta para pendukung agama ini sehingga hari kiamat.

Setelah sekian lama tidak menulis, maka hari ini ana kembali menulis, memberitakan tentang keadaan ana di sini. Alhamdulillah, ana sudah hampir menamatkan pengajian tahun satu sebagai pelajar perubatan di Jordan ini, Exam final akan menjelang pada minggu hadapan, dan dengan ini jugalah maka sudah hampir genap setahun ana berada di sini.  Tarikh 22,23 dan 26 haribulan lapan merupakan hari-hari dimana ana menempuh final exam. Marilah doakan kejayaan kita bersama.

Pengalaman hidup jauh dari keluarga, dari sekolah telah banyak mengajar ana bahawa betapa kepentingan tarbiyyah dalam kehidupan kita. Suasana tarbiyyah di sekolah dahulu sangatlah ana rindui, Iman yang terjaga, biah yang solehah namun kini ana sedari bahawa suasana di luar ini sangatlah berbeza. Kadang kala ana hanyut dalam kelalaian, melupakan hakikat bahawa diri ini seorang hamba. Ya, tarbiyyah amat penting dalam kehidupan kita, tanpa tarbiyyah ke manalah pergi iman kita, tanpa tarbiyyah jahiliyyah mudah menguasai diri kita.

Kini berbaki kurang seminggu lagi sebelum kita melangkah ke bulan Ramadhan. Namun setakat manakah kita bersedia untuk menyambutnya?

Beberapa persediaan perlu kita lakukan sebelum kita menyambut ramadhan. Pertamanya persediaan hati dan iman. Hati dan Iman hendaklah kita sediakan supaya ia mampu mengatasi kehendak nafsu kita dari mengusai diri. Dengan persediaan hati dan iman, kita akan lebih bersedia untuk menumpukan sepenuh jiwa dan raga kita beribadat dalam bulan yang mulia ini. Dengan persediaan ini juga, kita diharap dapat memaksimakan peluang yang ada dalam bulan ini untuk merebut rahmat Allah yang melimpah ruah ketika dibulan ini. Persediaan ini juga merupakan persediaan yang paling penting bagi kita kerana hati merupakan pengawal kepada anggota badan dan berkuasa ke atas diri kita.

Seterusnya, persediaan mental dan fizikal. Puasa merupakan satu ibadah yang sangat unik dan ia menuntut kita supaya menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya. Siapkanlah diri kita supaya kita dapat melaksanakan ibadah puasa kita dengan sempurna apabila tiba bulan Ramadhan. Perbanyakkan puasa sunat dan kurangkan melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah supaya nanti kita dapat penuhi hari kita dalam bulan Ramadhan dengan ibadah dan perkara yang bermanfaat.

Persediaan ilmu pengetahuan, maka adalah mesti bagi kita untuk mendalami hukum-hukum berkenaan puasa serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya supaya kita dapat melaksanakan ibadah kita dengan sempurna.

Sesungguhnya amatlah banyak persediaan yang perlu kita lakukan untuk menyambut kedatangan bulan yang mulia ini.

“ Berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah taqwa”

Semoga kita dapat manfaatkan ramadhan kali ini dan menjadikan ia bekalan kita untuk hari-hari yang mendatang.

“Ya Allah, berkatilah aku di bulan rejab dan sya’ban dan engkau sampaikanlah diriku ini kepada Ramadhan”

Wallahu’alam

Jumaat, 17 Julai 2009

Laporan UN: Israel menzalimi tahanan hamil

Beberapa kumpulan Hak Asasi Manusia mengutuk keras kerajaan pengganas Israel kerana memberi layanan buruk terhadap wanita-wanita Palestin yang mereka penjarakan.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Addameer Prisoner Support dan Human Rights Association yang ditaja oleh  United Nations Development Fund for Women (UNIFEM,) wanita-wanita hamil yang dipenjarakan di Israel dihalang dari mendapatkan bantuan melahirkan anak di hospital.

Laporan tersebut juga menyebut bahawa wanita-wanita Palestin ditempatkan di penjara dan pusat-pusat tahanan Israel yang dibina untuk tahanan lelaki, yang langsung tidak memenuhi keperluan wanita.

Tahanan wanita yang mengandung tidak mendapat rawatan atau layanan yang diperlukan merangkumi keperluan makanan mahupun kemudahan untuk dipindahkan ke hospital. Malahan mereka juga dirantai ke katil sehinggalah mereka memasuki bilik bersalin, dan akan dibelenggu lagi sejurus selepas selamat bersalin.

“Pemakanan yang tidak seimbang, makanan yang tidak cukup protin, kekurang cahaya dan pergerakan, pengalihan udara yang amat buruk dan persekitaran yang lembap menyebabkan keadaan bertambah buruk dan meningkatnya masalah kesihatan seperti penyakit kulit, anemia, lelah, di samping sakit perut, sendi dan belakang yang berpanjangan,” jelas laporan tersebut.

Dalam pada itu, laporan tersebut juga mendedahkan bahawa majoriti tahanan wanita terpaksa berhadapan dengan tekanan mental dan siksaan semasa ditangkap, termasuklah tindakan melibatkan teknik memukul, hinaan, ugutan dan gangguan seksual. Kesan secara langsung terhadap anak-anak yang bakal dilahirkan adalah amat membimbangkan.

Laporan yang ditaja oleh United Nations ini adalah berdasarkan kepada kajian melibatkan 125 wanita Palestin yang pernah ditangkap, ditahan atau dipenjarakan di Israel antara bulan November 2007 dan November 2008. Separuh daripada mereka masih lagi dikurung, menjadi sebahagian daripada 11000 tahanan Palestin di penjara dan pusat-pusat tahanan Israel laknatullah.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Hal-Ehwal Tahanan mengesahkan tahanan berbangsa Palestin dan Arab di Israel kini melebihi 11 ribu orang, termasuk 65 wanita dan sekurang-kurangnya 440 kanak-kanak. Kementerian juga menyangkal dakwaan bahawa hanya terdapat 58 tahanan wanita yang dipenjarakan.

Sumber : HALUANPalestin

p/s: Wahai Saudaraku di Palestin, kami sentiasa mendoakan kamu.

Didik Diri

Assalamualaikum wrt

Pertamanya, marilah kita bersyukur kepada Allah swt atas nikmat Iman dan Islam yang Allah swt telah kurniakan kepada kita serta hendaklah kita pelihara kedua nikmat ini agar Allah swt tidak menarik kembali nikmatnya ini. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, penghulu segala nabi, contoh yang agung untuk diikuti oleh manusia, para keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda yang diredhai Allah, para tabien dan pejuang-pejuang kebenaran .

التربية في أيديكم في أيديكم فقط

Satu ungkapan yang pernah kita dengar, tetapi apakah yang dimaksudkan sebaliknya. Ya, tarbiyah itu ditangan kamu sahaja. Sesungguhnya hanya pemilik diri sahaja yang boleh mentarbiyah dirinya dengan berkesan, suasana luaran cumalah bertindak sebagai pemangkin atau kadang-kadang langsung tidak membantu dalam mentarbiyah diri seseorang.

Faktor kejayaan tarbiyah Islamiyah adalah diri kita sendiri, Allah swt telah memberi kita pilihan dalam menentukan kehidupan kita sama ada Iman atau Kufur  sebagaimana dalam firman Allah swt :

“dan kami ilhamkan kepadanya dua jalan; jalan keburukan dan jalan ketakwaan. Maka beruntunglah mereka yang menyucikan hati. dan rugilah mereka yang mengotorkannya”
(Surah Asy-Syams:8-10)

Sesungguhnya Allah swt telah menyediakan pilihan kepada kita sama ada ingin berada dalam ketakwaan atau terus bersama dalam kekufuran dan kitalah sebanarnya yang memutuskan pilihan jalan hidup kita.

Tiada gunanya ibubapa yang soleh, guru-guru yang mantap, suasana yang solehah tapi sekiranya pemilik hati itu cenderung hendak berada dalam kekufuran dan keingkaran. Faktor-faktor tersebut hanya bertindak sebagai pemangkin sahaja tanpa sedikitpun dapat memberi kesan sekiranya pemilik hati tidak mahu menerimanya.

Saya ingin mengajak diri saya dan para pembaca sekalian bermuhasabah terhadap diri sendiri adakah kita ingin kepada keimanan dan ketakwaan? Adakah kita menjalankan tarbiyah iman kita, sentiasa memperbaharui iman kita?

Firman Allah swt:

“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”
(Surah Ar Ra’d: 11)

Wallahu’alam…

Ahad, 12 Julai 2009

Intikhobat

Assalamualaikum wrt

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam, Selawat dan Salam ke atas baginda Rasul s.a.w, keluarga baginda serta para sahabat yang diredhai Allah.

P/S : Pesanan ini dikhaskan kepada diri sendiri dan mana-mana ahli PERMAI yang terbaca post ini.

mybanner4a590c3044f2d

Dah nampak Banner kat atas tu? Jadi post ana kali ini adalah berkaitan dengan Pilihanraya PERMAI ke-6 yang akan diadakan pada hari jumaat ini, 17 Julai 2009.

PERMAI atau nama panjangnya Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid merupakan persatuan induk bagi pelajar Malaysia di tempat ana tinggal sekarang iaitu Irbid. Ahli-ahlinya terdiri dari pelajar dari dua buah Universiti berdekatan iaitu Jordan University of Science and Technology(JUST) dan University of Yarmouk. Percampuran antara dua golongan pelajar dari aliran agama dan sains telah membuahkan masyarakat pelajar yang agak unik di sini. Pelajar perubatan dan pelajar aliran agama saling melengkapi antara satu sama lain.

Dah la, tak reti la nak cerita…

Sebenarnya sepanjang ana berada di Jordan ini, pilihan raya PERMAI ini akan menjadi pilihan raya yang kedua ana mengundi, yang pertama ketika mengundi perwakilan universiti, namun kali ini ana akan mengundi untuk kepentingan masyarakat melayu Islam di Irbid.

Di sini tiada parti-parti yang bertanding, tetapi kami di kehendaki mengundi untuk memilih bakal Presiden PERMAI. Semoga ahli PERMAI bijak dalam memilih bakal Presiden mereka. Ana juga berharap kepimpinan yang bakal dipilih dapat mendukung Islam dalam setiap gerak kerja mereka serta ahli PERMAI dapat sedar bahawa mereka ada tanggungjawab terhadap persatuan mereka.

Maaflah kalau post kali ini agak mengarut tapi ana post ini untuk pengetahuan sahabat-sahabat ana di Malaysia mengenai suasana kehidupan bermasyarakat dekat Jordan ni.

Wallahu’alam

Sabtu, 11 Julai 2009

Tujuan

Assalamualaikum wrt

Alhamdulillah, dengan nikmat dan kurnian Allah swt, ana masih lagi dapat meringankan tangan menulis di ruangan maya ini. Sudah lama ana tidak mencoretkan sesuatu disini sejak ana balik dari Umrah lagi. Sekarang sudah masuk minggu kedua berada dalam Semester Soifi.

Ana juga nak minta maaf kepada mereka yang tertunggu-tunggu post ana terutamanya keluarga, maaf sebab ana lambat bagi tahu ana dah balik Umrah.

Dalam tulisan kali ini ana nak kongsi sesuatu, semoga dari perkongsian ini, kita dapat manfaat di sebaliknya.

Manusia sering tertanya-tanya apakah tujuan kehidupan mereka didunia ini. Ramai manusia yang tidak mengetahui apakah tujuan mereka dihidupkan di dunia ini. Hasilnya, mereka sesat dalam kenikmatan duni, hidup mereka kosong tanpa ruh. Mereka bagai binatang yang cuba memuaskan nafsu syahwat mereka atau seperti robot yang setiap hari melakukan perkara yang sama tanpa mengetahui tujuan kehidupan yang sebenarnya.

Marilah kita tanya diri kita, apakah tujuan kita dihidupkan didunia ini? Allah swt telah memberi jawapan kepada manusia tentang tujuan kewujudan kita di dunia ini sebagaimana dalam firmannya dalam surah Az Zariyat 56

“Dan tidak aku jadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”

Beruntunglah kepada mereka yang mengetahui tujuan kewujudan mereka di dunia ini. Hakikatnya ramai manusia yang masih keliru dengan hakikat kejadian mereka. Namun mereka yang Allah beri kesedaran tentang hakikat kewujudan diri mereka haruslah memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana ia merupakan salah satu nikmat Allah yang sangat besar.

Jadi marilah sama-sama kita menyedari hakikat kewujudan, atau tujuan kehidupan kita di dunia ini. Pengabdian kita kepada pencipta kita, Allah swt. Kita jadikan seluruh kehidupan kita sebagai pengabdian kita kepadaNya semata-mata.

Ingatlah ikrar yang kita ucapkan dalam solat kita

“ Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyasaNya kepada Allah tuhan sekalian alam, tiada sekutu bagiNya dan demikianlah yang diperintahkan kepada dan aku dari kalangan orang yang menyerah diri(muslim)”

Dan juga yang kita ulangi dalam Al-fatihah

“Kepada Engkaulah kami sembah dan kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.

Alhamdulillah, moga kita semua dapat menyedari hakikat ini dan kita berusaha ke arah menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya.

Wallahu’alam

Khamis, 18 Jun 2009

Lambaian…

Assalamualaikum wrt

Nampaknya hajat ana untuk pergi ke Mekah dan Madinah pada 17/6 terpaksa ditunda kepada 18/6 atas sebab peperiksaan Physiology ditangguhkan dari 10/6 kepada 18/6.

Namun ana tetap bersyukur kerana bakal menjadi tetamu Allah dan dapat pergi ke Masjidil Haram dan Masjid An-Nabawi buat kali pertamanya dalam hidup ana.

Moga-moga ibadah Umrah yang bakal ana tunaikan ini diterima Allah dan menjadi pemangkin kepada diri ana untuk terus meningkatkan hubungan dengan Allah serta memperbaiki diri.

Dalam pada itu, sejak akhir-akhir ini banyak kita dengar tentang kematian. Kematian seorang sahabat kita di Mesir iaitu Akh Ammar Zulkifli dan seterusnya pemergian seorang Ulama’ besar iaitu Al-Ustaz Fathi Yakan. Peristiwa ini sebenarnya ingin mengingatkan kita tentang kematian. Mengingati kematian dapat membersihkan hati kita dari karat-karat Jahilliyah.

Allah masih lagi beri peluang kepada kita untuk terus hidup maka, ana mengajak diri ana serta para pembaca sekalian, marilah kita membaiki diri kita kearah yang dikehendaki Allah, mencurahkan segala tenaga, jiwa dan raga kita untuk Islam. Mati dijalan Allah merupakan sebaik-baik kematian dan itulah yang kita sama-sama cita-citakan.

Mungkin ini sahajalah yang dapat ana coretkan, Ya Allah jadikanlah aku salah seorang pendokong agamaMu.

Jumaat, 5 Jun 2009

Munafiq

Assalamualaikum wrt

Hari ini, hatiku agak tersentuh apabila khatib membicarakan mengenai orang-orang munafiq, walaupun ana tidaklah memahami isi khutbah secara keseluruh tapi ana yakin ia menceritakan mengenai orang-orang munafiq.

Bila berbicara soal munafiq, hati ana tertanya-tanya, adakah diri ini tergolong dalam golongan munafiq. Ana perhatikan diri ana, masih banyak lagi sifat munafiq yang melekat pada diri ini, teringat ana pada satu hadith Rasul S.A.W yang ana pelajari di sekolah dahulu :

عن ‏ ‏أبي هريرة رضي الله عنه ‏عن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏آية ‏ ‏المنافق ثلاث إذا حدث كذب وإذا وعد ‏ ‏أخلف ‏ ‏وإذا اؤتمن خان ‏

Dari Abi Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda : Tanda-tanda munafiq itu ada tiga, apabila ia berkata-kata ia dusta, apabila ia berjanji ia mungkir, dan apabila ia diberi kepercayaan ia khianat.
Riwayat Bukhari

Dan juga kita boleh lihat Allah telah ceritakan dalam Al-Quran dalam satu surah khas iaitu surah Al-Munafiqun yang menceritakan perihal orang-orang munafiq.

Namun bukan ini sahaja, masih banyak lagi sifat-sifat orang munafiq yang kita semua ketahui yang semuanya berpaksikan atas satu perkara iaitu berpura-pura. Marilah kita melihat dan muhasabah kembali diri kita, adakah terdapat sifat-sifat munafiq dalam diri kita, dan bagaimana pula usaha kita untuk menyingkirkan sifat ini. Ya, itulah kepentingan saudara seIslam, yang perlu menasihati saudaranya supaya mereka sama-sama tidak termasuk dalam golongan munafiq dan fasiq.

Agama itu nasihat dan dalam nasihat itu terdapat hikmah, menasihati seseorang, kita hendaklah mengikhlaskan niat kerana Allah dan juga menasihati secara berhikmah. Kita perlu mengenali apa yang disukai olehnya dan apa yang tidak disukainya. Ada orang perlu dinasihati secara terus terang dan tidak suka dinasihati secara sindiran. Maka seorang sahabat yang baik perlulah bertaaruf dengan sahabat nya supaya dapat saling membantu dikala lemah.

Perbincangan dalam bab munafiq ini sangat besar, siksaan bagi mereka juga sangatlah berat sebagaimana dalam fiman Allah swt dalam surah An-Nisa’ ayat 145 :

0-0 Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) Neraka dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.

Amat beratlah siksaan bagi golongan ini, marilah kita memohon kepada Allah agar tidak termasuk dalam golongan ini.

Wallahu’alam.

Perubahan memerlukan pengorbanan.

Ahad, 31 Mei 2009

Aku Merindui Kalian

Assalamualaikum wrt

Entah kenapa, ana rasa rindu kepada Sahabat-Sahabat ana, First Gen SMASKL, sahabat-sahabat jillussabuq. Ana merindui kalian semua, kalian  dapat memberi kekuatan kepada ana. Ana rindu kenangan kita dulu, ana rindu waktu2 kita bersama, bermain bersama, tidur bersama, sama-sama kita di tarbiyah, sama-sama berusrah. Ana rindu semua itu. Antumlah sahabat ana dunia akhirat. Namun kini, ana tidak sempat untuk menghubungi Kalian semua. Ana berharap nanti kita dapat sama-sama berkumpul dan kita sama-sama merapatkan ukhuwah, bertukar-tukar cerita dan membina kekuatan. Semoga Allah terus memelihara Ukhuwah kita. Ukhuwah kerana Allah. Khas buat sahabat-sahabatku

Hasyimi, Hafiz, Fathi, Najmi, Anas, Faris, Epy, Umar, Uthman, Azfar, Huzaifah, Ahmad, Fattah, Faiz, Nik, Salahuddin, Ihsan, Risqan, ‘Adli, Akram. Ana Bangga dengan Antum semua.

Sabtu, 30 Mei 2009

Final dah Hampir

Assalamualaikum wrt

Nampaknya sejak akhir ini, ana jarang mengeposkan sesuatu ke dalam blog ini, bukan kerana tiada masa atau sibuk, tetapi ana tiada kekuatan untuk menulis. Menulis pun memerlukan kekuatan ke? Mestilah, untuk menulis, perlu memerah otak, mengatur kata. Menulis memerlukan ilmu, dan paling penting sekiranya kita menulis tazkirah dan peringtan perlu mempunyai kekuatan Iman.

Dengan kehidupan dalam zon selesa yang jauh dari masalah dan dugaan, ia telah sedikit sebanyak memberi kesan kepada iman. Ia merupakan dugaan yang paling sukar untuk dihadapi. Ujian kesenangan, ia membuatkan diri ini semakin lalai. Namun mujurlah dengan adanya sahabat2 yang soleh serta tazkirah2 yang mantap, dapat jugalah menjaga diri ini dari terlalu lalai. Yang paling ditakuti, lalai dari mengingati Allah, dan lalai dari menyedari bahawa diri ini merupakan hambaNya.

Menghitung hari, rupanya sudah lebih 9 bulan ana berada di bumi Jordan ini, dan semester kedua pun sudah hampir tamat. Final Exam bakal menjelang tidak lama lagi. Dengan ‘Carry Mark’ yang tidaklah seberapa kerana diri ini yang malas dan lalai, maka sekarang sedang berusaha dan bersiap sedia untuk menghadapi final exam.

Kepada pembaca blog yang setia, ana mengharapkan doa kalian untuk terus berjaya dalam Exam ini, dan tidak lupa supaya tidak lalai dari mengingati Allah. Berikut adalah tarikh final Exam ana beserta carry mark.

2/6/2009- Histology              45/60
10/6/2009- Physiology        44/60
13/6/2009- Anatomy            49/60
15/6/2009- Environment Protection        57/60
16/6/2009- Organic Chemistry                    46/60

Dan Insya Allah, jika tiada aral melintang ana akan menunaikan umrah pada 17/6/2009. Semoga pemergian ana ke baitullah dapat membantu menyucikan hati ini dari kemaksiatan dan karat-karat Jahiliyyah.

Perubahan memerlukan pengorbanan

Jumaat, 29 Mei 2009

Dunia Baru Islam

Sempena mengenang kembali pembukaan kota Konstinople(Istanbul) tanggal 29 Mei 1453 oleh Sultan Muhammad Al Fateh, marilah sama-sama kita hayati Nasyid ini yang mengingatkan kita kepada kenangan Indah Islam dan seterusnya kita hayati pengorbanan Rasulullah serta para sahabat baginda dan pejuang-pejuang Islam.

Dunia Baru Islam

Masih basah kenangan indah
Zaman cemerlang era gemilang
Ketika Rasul ada di sisi
Para sahabat mentadbir bumi

Zaman nubuwwah era khulafa'
Islam laksana api yang menyala
Menerangi teman dan juga sahabat
Bahang panasnya membakar lawan

Di celah itulah
Kami mengatur langkah
Membina sebuah thoifah

Di sini bara
Tak pernah padam
Digenggam kukuh
Sebuah azam

Ayuhlah para mujahid
Ayuhlah para mujahidah
Kita tinggalkan zaman fitnah
Agar tertegak kalimatullah
Agar terbangun.....
Dunia Baru Islam

Perubahan Memerlukan Perubahan

Ahad, 24 Mei 2009

Futur

Assalamualaikum

Di sini ada sedikit perkongsian yang ana dapat dari inbox email ana, harap ia semua boleh menjadi peringatan terutama kepada diri ana sendiri.

Hari ini, seluruh dunia semakin panik apabila digemparkan dgn virus influenza A H1N1

tetapi malangnya tak ramai di kalangan kita yang tahu apakah virus penyakit Futur ?

Marilah bersama-sama kita mengenali virus penyakit Futur yang sangat berbahaya ini

Penyakit influenza A H1N1 telah mengorbankan hampir 100 orang setakat ini

tetapi penyakit futur telah merebak kepada berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia?

berjuta-juta umat Islam sekarang berada di dalam keadaan yang sangat kritikal??

berapa ramai umat Islam yang beriman kepada Allah? sama-samalah kita fikirkan ??

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menta'rifkan Futur :

Bahasa Arab : Behenti selepas bergerak aktif

Istilah : Penyakit yang boleh menimpa sebahagian para da'ie,

            paling rendah ialah lembab & slow

            paling bahaya ialah behenti terus aktif dalam dakwah serta cergas beramal

Sebab:

-meninggalkan jemaah & mengutamakan kehidupan uzlah/ menyendiri

-memakan sesuatu yang haram atau syubhah

-tenggelam dalam maksiat & keseronokan dunia

-bertindak tanpa perancangan & secara individu

-amat sedikit mengingati mati & hari akhirat

-hubbun dunnia wa karahiyatul maut ( cintakan dunia & takutkan mati )

-cuai melaksanakan ibadat : zikir, baca Al-Qur'an, solat berjemaah, qiyam

Kesan

-Kesan kepada Daie : kurang tenaga Da'ie

-Kesan kepada Jemaah : panjang perjalanan, beban bertimbun,

                                      lambat memperolehi kejayaan

Ubat kepada penyakit Futur

- Menjauhi maksiat sama ada kecil @ besar

- melazimi amalan harian : baca Al-Quran & zikir

- sentiasa mengingati mati & persoalan kubur

- menghadiri majlis ilmu/usrah/halaqah

- muhasabah diri /bertaubat nazuha

- mempertingkatkan amalan2 sunat

- sentiasa menjaga hubungan dengan Allah

Kiriman:: Ustaz Khusairi

 

Perubahan memerlukan Pengorbanan

Selasa, 19 Mei 2009

16 Mei

          Rasanya masih belum terlambat untuk ana mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru-guru yang pernah mengajar ana, dari semnjak ana di Tadika hinggalah sehingga ana berjaya menamatkan alam persekolahan. Guruku di SMASKL (kredit kpd Insyeerah)

16 mei banyak meninggalkan kenangan dan pengalaman yang pelbagai yang masih segar lagi dalam ingatan ana. Salah satunya ialah peristiwa yang berlaku pada 16 Mei 2006, iaitu ketika ana berada di tingkatan 4. Peristiwa ini sesungguhnya merupakan satu peringatan dan ujian dari Allah.

Pada petang tersebut, selepas kami selesai solat asar berjemaah cuaca mulai mendung dan Ust Suffian, warden kami, mengarahkan kami supaya tidak keluar bermain. Kami di arah untuk duduk di dalam dorm masing-masing, Ana ketika itu duduk di dorm tingkat atas, cuaca semakin buruk. Tiupan angin juga semakin kuat sehingga akhirnya ia mengangkat bumbung Dorm Darul Furqan(tempat ana berada), ia berlaku di hadapan mata ana sendiri. Dalam ketika inilah, Allah menguji kami, adakah kami tabah dalam menghadapi dugaan. Marilah kita hayati video yang kami buat untuk memperingati peristiwa ini.

Semoga dengan peristiwa ini, ia memberi kesan terhadap diri ana, serta sahabat-sahabat perjuangan sekalian.

Dan disini juga, ana ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada para guru ana yang telah bertungkus lumus mengajar ana. Terutama sekali kepada emak ana, seorang guru dan seorang ibu.

Mungkin post kali ini agak tidak tersusun, sudah lama ana tidak menulis disini, dan sudah lama ana merasakan diri ana semakin jauh dari Allah. Ana tidak dapat solat sekhusyuk sebagaimana ketika ana di SMASKL dulu. Tidak dapat merasakan diri ini sebagai pejuang Islam. Tidak sesemangat dahulu dalam study dan tidak seteguh dahulu iman ana.

Mungkin, ana perlu terus meningkatkan diri, berusaha untuk berubah kepada yang lebih baik dan ana amat mengharapkan doa antum semua supaya ana diberi keimanan yang kuat dan terus teguh dalam memperbaiki diri.

Ana pun tak tahulah ape yang ana merepek ni, maaflah atas post yang agak merepek ni. Tapi, semoga ada sesuatu yang kita dapat ambil dari post ini, akhir kata Allah itu sumber kekuatan dan dengan keimanan kepada Allah sahajalah kita akan dapat kekuatan diri.

Wallahua’alam.

Perubahan Memerlukan Pengorbanan

Gambar